Skip to main
Logo Malaysiakini

'Perbezaan kepentingan syarikat gagalkan usaha wujud konsortium laksana 5G'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membayangkan syarikat-syarikat telekomunikasi menolak rancangan untuk menubuhkan konsortium bagi mewujudkan akses 5G di seluruh negara.

Kenyataan itu di tengah kritikan terhadap langkah kerajaan untuk melaksanakan model Rangkaian Borong Tunggal untuk akses itu.

Perkara itu dinyatakan Zafrul dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, yang antara lain menjelaskan garis masa usaha pelaksanaan 5G di Malaysia.

Dia berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menerbitkan laporan pada 2019 yang mencadangkan penubuhan konsortium yang terdiri daripada syarikat telekomunikasi berbanding menganugerahkan spektrum 5G secara individu.

“Namun disebabkan perbezaan kepentingan di kalangan syarikat telekomunikasi, usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak terlaksana seperti yang diharapkan,” katanya.

Pada masa ini, syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) bertanggungjawab membina infrastruktur 5G, yang kemudian akan dipajak kepada syarikat telekomunikasi.

Pemain industri telah menyuarakan keraguan terhadap model DNB, antaranya melibatkan isu harga dan kurangnya ketelusan.

Namun Zafrul dan DNB menjelaskan model Rangkaian Borong Tunggal akan membolehkan kos rangkaian 5G lebih murah berbanding 4G.

DNB juga menawarkan tempoh percubaan percuma kepada syarikat telekomunikasi. Setakat ini hanya Telekom Malaysia yang bersetuju.

Penjelasan Zafrul hari ini bagi menjawab dakwaan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin bahawa pelantikan DNB dibuat oleh Kementerian Kewangan tanpa berbincang dengan kementeriannya.

Namun Zafrul berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama secara rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan SKMM, dan dia juga sentiasa berbincang dengan menteri semasa, Annuar Musa dan juga menteri sebelumnya, Saifuddin Abdullah.