Skip to main
Logo Malaysiakini

44 lagi kematian, jumlah korban 30,831

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 44 kematian baru akibat Covid-19 semalam (10 Dis), menjadikan jumlah kematian terkumpul meningkat kepada 30,831 kes.

Malaysia mencatatkan jumlah kematian tertinggi dari segi per kapita di rantau Asean dan Asia Timur dengan 933 kematian bagi setiap 1 juta penduduk.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan semalam, 22.7 peratus atau 10 orang meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Johor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu sebanyak lapan kes atau bersamaan 18.2 peratus daripada kematian baharu yang dilaporkan.

Ini diikuti Sabah sebanyak enam kes, Terengganu (5), Pahang (4), Pulau Pinang (4), Selangor (4), Sarawak (3), Kedah (2), Kelantan (2), Negeri Sembilan (2) , Perak (2), Melaka (1) dan Kuala Lumpur (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 38 daripada 44 kematian yang dilaporkan atau 86.4 peratus berlaku dalam tujuh hari lalu.

Kematian selebihnya berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 45 kematian akibat Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata 42 kematian dalam tempoh tujuh hari lalu, sekali gus menunjukkan trend penurunan.

Setakat ini, sebanyak 517 kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada bulan ini.

Setakat semalam, terdapat 60,873 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 2.6 peratus daripada 62,486 kes aktif seminggu yang lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 3.2 peratus daripada 62,892 kes.

Jangkitan berkaitan kluster

Daripada 5,058 kes baru Covid-19 semalam, sebanyak 190 daripadanya dikesan daripada kluster Covid-19 sedia ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 122 (64.2 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 52 (27.4 peratus) adalah dari institusi pendidikan.

Baki kes dikesan daripada kluster yang berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua (12 - 6.3 peratus), acara keagamaan (3 - 1.6 peratus) dan penularan komuniti (1 - 0.5 peratus).

Kementerian Kesihatan memuat naik butiran terkini mengenai pandemik Covid-19 selepas tengah malam di laman web Github.