Skip to main
Logo Malaysiakini

Mulia: Pesalah rasuah Indonesia tak terlibat bangunan ketiga tertinggi di M'sia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mulia Property Development Sdn Bhd, yang menguruskan bangunan The Exchange 106, menegaskan banduan warga Indonesia Djoko Tjandra tidak terlibat dalam pembangunan menara pencakar langit ikonik yang merupakan sebahagian daripada pembangunan Tun Razak Exchange dan bangunan ketiga tertinggi di Malaysia.

Djoko, yang juga dikenali sebagai Joe Chan, ialah pengasas syarikat Mulia Group dan kini sedang menjalani hukuman penjara di Indonesia kerana merasuah polis dan pendakwa raya.

"Pengurusan The Exchange 106 menjelaskan Joe Chan tidak lagi terlibat dalam The Exchange 106 dalam sebarang bentuk dan bukan pemegang saham mahupun pengarahnya.

"Isu undang-undangnya itu bersifat peribadi di Indonesia dan tidak berkaitan dengan The Exchange 106," kata firma itu pada satu kenyataan.

Syarikat itu menjawab artikel Ahli Parlimen Damansara Tony Pua yang mendedahkan kejadian melibatkan Mulia dan The Exchange 106 ketika dia menjadi setiausaha politik kepada menteri kewangan pada 2019.

Pua berkata Kementerian Kewangan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan telah menjalankan langkah-langkah wajar terhadap Mulia yang memiliki projek itu.

Projek itu diberi pinjaman kerajaan berjumlah RM1.8 bilion pada 2016 oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak selepas pemaju tidak dapat memperoleh pembiayaan di tengah-tengah skandal 1MDB.

Pua berkata Djoko berang dengan langkah-langkah wajar pada 2018 itu selepas diberi layanan istimewa aoleh Najib dan kemudiannya berpeluang bertemu perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad untuk mengadu mengenai Pua.

Ahli parlimen DAP itu telah mendedahkan kejadian itu selepas Mahathir, dalam memoir terbarunya, menuduhnya "mengancam" komunitti perniagaan.

Pua pula tidak kesal atas tindakannya itu, berkata dia bangga melindungi dana pembayar cukai dan memastikan tiada pembaziran.

Gambar fail,  Djoko Tjandra juga dikenali sebagai Joe Chan.

Mulia, pada kenyataan hari ini, mengesahkan langkah-langkah wajar itu telah dilaksanakan dan akhirnya diselesaikan.

"Pada 2018, apabila langkah-langkah wajar dilaksanakan di The Exchange 106, projek itu masih dalam pembinaan, dan pematuhan kawal selia masih diteruskan sebagai kerja dalam proses untuk disiapkan.

“Pihak pengurusan telah memberikan kerjasama yang baik dengan langkah-langkah wajar yang dijalankan dan semua perkara akhirnya telah dijelaskan dan diselesaikan dengan secukupnya.

“Pengurusan The Exchange 106 juga ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang telah sangat menyokong dan memainkan peranan dalam kejayaan menyiapkan dan mentauliahkan The Exchange 106 menjelang akhir 2019 selaras dengan semua keperluan kawal selia, undang-undang dan peraturan," katanya.

Djoko pada bulan lepas dijatuhi hukuman penjara empat tahun enam bulan oleh Mahkamah Agung Indonesia kerana merasuah pegawai Indonesia untuk mengeluarkannya daripada senarai notis merah Interpol.

Djoko didakwa merancang 'perjanjian pembebasan' untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa di The Exchange 106.

Dia telah diburu selama 11 tahun kerana penyelewengan dan hanya dihadapkan ke mahkamah selepas Malaysia pada Julai 2020 mengekstradisinya ke Indonesia.