Skip to main
Logo Malaysiakini

Majlis ingkar SOP: Kenapa KJ tak bertindak serta-merta, soal MP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Klang Chares Santiago mengkritik penguatkuasaan yang disifatkannya tidak bersungguh-sungguh terhadap pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada majlis kerajaan.

Dia menyoal mengapa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin tidak bertindak segera selepas menyaksikan orang ramai gagal mematuhi peraturan penjarakan sosial pada majlis sambutan Hari Keluarga Malaysia di KLCC bagi meraikan kad laporan 100 hari kerajaan.

Khairy mengumumkan denda RM1,000 terhadap penganjur acara itu semalam. Acara empat hari itu bermula pada 9 Disember lalu.

“Khairy Jamaluddin walaupun saya memuji anda kerana mengambil tindakan, tetapi anda telah meletakkan contoh yang salah.

"Sekarang semua orang akan mengadakan perhimpunan besar dan bayar RM1,000. Ini penguatkuasaan setengah hati.

"Mengapa anda tidak boleh menutup acara itu selepas menyaksikan kekacauan, dengan serta-merta," kata Charles pada satu kenyataan hari ini.

Majlis itu dianjurkan oleh Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama atau Sepadu, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kerajaan telah menghantar mesej teks menjelang acara itu, menggesa orang ramai untuk hadir beramai-ramai meraikan sambutan 100 hari kerajaan.

Orang ramai mengunjungi majlis itu pada 9 Dis yang dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Khairy. Khairy enggan bercakap kepada media apabila dia meninggalkan majlis itu.

Charles juga menyoal mengapa polis tidak mengambil tindakan.

"Bukankah perdana menteri, polis, Khairy bertanggungjawab atas kecelaruan ini?" soal Charles lagi.