Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Dedahkan markah 'menteri hebat' lepas PM kata kabinet lulus cemerlang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mahu kerajaan mendedahkan markah individu setiap menteri dalam kad laporan 100 hari mereka.

Ini selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kerajaannya lulus dengan pencapaian cemerlang, memberikan markah 90 daripada 100.

"Malaysia mesti mempunyai menteri-menteri yang hebat apabila kabinet boleh mendapat markah 90 peratus daripada Perdana Menteri Ismail Sabri untuk prestasi 100 hari mereka.

"Jika 15 daripada menteri mendapat sekurang-kurangnya 80 mata, ini bermakna sekurang-kurangnya 15 menteri mesti mendapat markah penuh 100 peratus. Adakah ini munasabah dilakukan manusia," soal Lim pada satu kenyataan.

Oleh itu, Lim berkata Ismail Sabri perlu mendedahkan skor tepat bagi setiap kementerian.

Lim mendakwa walaupun menteri-menteri itu tidak dikenali kerana "kebijaksanaan" mereka, namun ada yang mengisytiharkan mereka mencapai sasaran 100 hari mereka sebelum tamat tempoh 100 hari.

“Beban pembuktian terletak pada bahu Ismail Sabri untuk membuktikan beliau tidak hanya menggunakan angka sewenang-wenangnya tanpa ada apa-apa asas,” katanya.

Lim berkata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein juga telah mengisytiharkan kementeriannya telah mencapai sasaran 100 hari tetapi laporan dari luar tidak menunjukkan 'gambaran yang elok'.

"Saya hanya perlu merujuk kepada Laporan Transparency International Government Defence Integrity Index on Malaysia, yang melaporkan: 'Malaysia menghadapi risiko rasuah yang tinggi dalam sektor pertahanannya.

"Pengawasan parlimen masih baru dan lemah, penelitian kewangan dihadkan oleh kerahsiaan yang berlebihan, manakala pemerolehan terdedah kepada kepentingan kuat pihak asing dan domestik yang mengurangkan daya tahan institusi terhadap rasuah. 

"Akhirnya, risiko adalah kritikal dari segi operasi ketenteraan.'

"Dalam keadaan ini, bagaimana Kementerian Pertahanan mencapai sasaran 100 harinya," soal Lim.