Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Menanggapi generasi lapar perhatian, mempersenda OKU

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Baru-baru ini tular beberapa kejadian sekumpulan manusia yang berasa adalah tidak menjadi bekas - malah ia dianggap jenaka yang hebat - apabila mereka mempersenda aksi orang kelainan upaya (OKU).

Secara berjenaka dan ketawa besar, misalnya, mereka berjalan masuk dan keluar tandas OKU. Mereka - yang lengkap sifatnya itu - bukan saja tidak berakhlak menggunakan kemudahan orang yang kurang bernasib baik, malah mentertawakan individu yang sepatutnya memiliki hak ke atas kemudahan tersebut.

Dan mereka merasakan jenaka itu sangat hebat hingga ia perlu dikongsikan di media sosial.

Namun akhirnya yang itu dikecam oleh warganet.

Selain mengecam tindakan mereka yang tidak ada hati perut itu, apa lagi yang boleh kita lakukan sebagai anggota masyarakat, khasnya sebagai warga dunia maya?

“Name and shame” melalui aksi tular adalah satu langkah berkesan untuk mengekang pelaku sama mengulangi tindakan mereka. Namun ia belum tentu berkesan untuk mengekang pelaku baru atau bakal pelaku.

Mempersenda OKU bukanlah dianggap salah hanya apabila ada aksi yang tular. Tanpa disaksikan oleh orang ramai pun, perbuatan mempersenda dan menyalahgunakan kemudahan OKU tetap salah walau bila dan di mana saja.

Macam tikus suka sampah

Pada era milennium ini, saya beranggapan bahawa hal-hal yang melibatkan lawak kurang sensitif sebegitu hanya dilakukan oleh generasi terdahulu yang lebih berfikiran simplistik (simple minded) dan terkenal dengan sikap "tidak apa."

Dalam kalangan generasi lama, ada yang tidak terdedah dengan kemahiran berfikir aras tinggi, pemikiran kritis, pemikiran secara objektif dan sebagainya.

Ini tidak bermakna generasi lama boleh membuat lawak kurang sensitif kerana mereka dibekalkan Tuhan dengan akal budi dan juga adab didikan dari rumah.

Saya hanya menyatakan tentang perbezaan cara penyampaian ilmu dan pendidikan di sekolah.

Sikap seseorang sebenarnya banyak bergantung kepada tahap pendidikan mereka di rumah. Bagaimana mereka diajar oleh ibu bapa mengenai sesuatu nilai, misalnya.

Ia sama seperti sekumpulan anak tikus yang terbiasa dengan suasana 'rumah' yang dipenuhi sampah-sarap. Mereka akan membesar dengan tidak menganggap sampah sarap sebagai suatu nilai buruk atau negatif.

Nilai buruk pemimpin jadi ikutan

Begitu juga dalam isu rasisme. Jika ibu bapa menganggap tidak mengapa untuk hidup sebagai orang yang rasis akan cenderung membesarkan anak-anak yang lebih rasis.

Apa yang amat menghairankan kita ialah, generasi muda yang terdedah dengan kemahiran berfikir aras tinggi pun masih terlibat dengan perbuatan menghina OKU.

Tidak sekadar itu, mereka menjadi 'lapar' perhatian. Dorongan itulah yang membawa mereka menjadi 'terkenal' selepas berkongsi video di media sosial.

Justeru boleh dianggap bahawa generasi lama atau baru di negara tercinta ini nampaknya masih terkebelakang dalam konsep “memulakan sesuatu dengan memikirkan hasil dan akibat”.

Mereka mungkin terbiasa dengan sikap "buat dahulu fikir kemudian". Kebulur perhatian di media sosial dan kurang kasih sayang juga mungkin sebahagian penyebab mereka bertindak begitu.

Kebiasaan buat dahulu fikir kemudian itu juga sudah sebati sejak sekian lama dengan pemimpin politik di tanah air tercinta ini. Mungkin sikap dan nilai buruk pemimpin ini menjadi ikutan kepada yang dipimpin.

Akibat daripada hal-hal di atas tadi, maka terjadilah jenaka tidak seperti menghina OKU, melawakkan jenayah rogol, menyuburkan rasis dan lain-lain lagi.

Tindakan masyarakat dan warganet pula hanya terhad kepada “name and shame” untuk mengekang pesalah mengulang kesalahan. Maka tindakah lebih tegas seperti menggubal undang-undang untuk menghukum pesalah dengan lebih keras harus dibuat oleh pihak berwajib.

Nasib OKU di negara ini sudah lama tidak terbela seperti bangunan dan kemudahan yang tidak sesuai dan berbagai-bagai kekangan lagi. Sebagai manusia, tindakan membantu mengurangkan kekangan OKU adalah perbuatan yang mulia.

Jika kita tidak mampu membantu, cukuplah dengan sekadar menghormati kewujudan mereka sebagai manusia dan usahlah sampai menghina.


SANUSI DIN atau nama penanya Ibnu Din Assingkiri adalah seorang penulis kreatif separuh masa yang mencintai alam sekitar sepenuh masa dan beliau juga berminat mengambil tahu tentang hal-hal politik semasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.