Sektor automotif kembali rancak menuju penghujung tahun
Prestasi sektor automotif yang lesu hampir sepanjang tahun ini ekoran ketidaktentuan pasaran yang disebabkan oleh risiko COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya mula rancak kembali pada suku akhir 2021.
Kilang kereta dan pengeluar peralatan tulen (OEM) meningkatkan pengeluaran dan serahan kenderaaan bagi memenuhi pesanan tertunggak dan pesanan baharu apabila bilik pameran menyambung kembali operasi perniagaan selepas sekatan pergerakan penuh seluruh negara ditarik balik pada Ogos.
Bulan penuh pertama keadaan pasaran yang pulih kembali selepas PKP adalah bulan yang produktif bagi pengeluar kereta nasional dan juga beberapa OEM apabila ekosistem automotif tempatan dan juga eksport mula meraih momentum.
Serahan kenderaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meningkat sebanyak 102 peratus bulan ke bulan kepada 14,160 unit pada September daripada 6,988 unit pada Ogos apabila situasi bekalan semakin bertambah baik secara beransur-ansur, manakala Proton Holdings Bhd (Proton) mencatatkan jualan 10,380 unit kenderaan bagi mengekalkan kedudukannya di tempat kedua dalam kategori jualan automotif kereta nasional.
Prestasi baik dicatatkan pengeluar kereta nasional
Perodua memecah rekod jualan bulanan baharu dan pengeluarannya sendiri dengan pendaftaran sebanyak 27,858 kenderaan pada Oktober manakala Proton sebanyak 13,362 unit.
Bulan jualan teringgi alam sejarah Perodua itu disokong oleh peningkatan pengeluaran dan serahan pantas kenderaan kepada pelanggan apabila pengeluar kereta itu menyasar sebanyak mungkin serahan kenderaan pada suku keempat 2021.
UMW Toyota Motor yang berada di kedudukan ketiga dalam kategori jualan automotif Malaysia juga mencatatkan pemulihan jualan susulan kelonggaran sekatan PKP penuh dengan jualan sebanyak 8,500 unit kenderaan pada Oktober, peningkatan 5.8 peratus daripada 8,033 unit yang dijual pada September.
Berdasarkan kepada pecahan jualan kenderaan baharu mengikut data jenama sehingga Oktober 2021 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan CGS-CIMB Research, Perodua menerajui senarai tersebut dengan 38.4 peratus bahagian pasaran diikuti Proton (22 peratus), Toyota (14.1 peratus), Honda (9.8 peratus), Nissan (2.4 peratus), Mazda (2.1 peratus), Isuzu (1.9 peratus) dan BMW (1.2 peratus).
Pada November, Perodua mencatatkan 20,299 jualan (- 27.1 peratus bulan ke bulan) berikutan gangguan daripada kes COVID-19 dan kekurangan cip semikonduktor yang dilaporkan menjejaskan pengeluarannya.
Pengeluar kereta kompak itu, bagaimanapun, menyasarkan pendaftaran bulanan tertinggi dalam sejarah bagi bulan Disember dengan sekurang-kurangnya 30,000 unit pendaftaran berikutan ia menyasarkan untuk mengakhiri tahun ini dengan lebih 200,000 unit terjual.
Menangani cabaran yang menyelubungi industri
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata: “Kami sedang bekerjasama dengan ekosistem automotif untuk mengatasi isu seperti peningkatan kes COVID-19 dan kekurangan bekalan cip semikonduktor. Dengan tindakan balas ini dilaksanakan, kami menjangka Disember 2021 sebagai bulan terbaik kami.”
Sementara itu, jualan keseluruhan Proton sebanyak 14,187 unit (domestik dan eksport) pada November meningkatkan jumlah untuk tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini kepada 100,566 unit, meningkatkan jangkaan syarikat akan dapat mengakhiri tahun ini dengan pertumbuhan jualan yang positif.
“Melepasi nilai ambang 100,000 unit dengan baki tempoh kira-kira sebulan lagi merupakan pengalaman terbaik kami selepas satu tahun lagi terganggu oleh COVID-19. Kami berasa rendah diri dengan pencapaian ini dan kini yakin dapat mengakhiri tahun ini dengan jumlah jualan yang meningkat,” menurut CEO Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah yang dilaporkan berkata demikian baru-baru ini.
Secara keseluruhannya, 2021 merupakan tahun yang mencabar bagi sektor automotif, bukan sahaja untuk pengeluar tetapi juga pengguna.
Hampir sepanjang tahun ini, jumlah kenderaan berkurangan di jalan raya dan lebuh raya berikutan had perjalanan, sekatan kapasiti yang ditetapkan dan keadaan yang lebih ketat untuk perjalanan rentas negeri selain daripada kecemasan manakala perniagaan terhenti selama beberapa bulan pada pusingan pertama tempoh PKP, pelaksanaan semula PKP dan sekatan pergerakan di seluruh negara berikutan peningkatan kes COVID-19.
Pelancaran baru terjejas akibat pandemik
Walaupun permintaan pengguna bertambah baik di samping kelonggaran sekatan COVID pada suku ketiga, pengeluar berdepan dengan cabaran gangguan berkaitan pandemik dan isu rantaian bekalan, ditambah dengan kekurangan cip semikonduktor yang merupakan fenomena global yang menjejaskan pelbagai sektor, turut menjejaskan pengeluaran dan jualan.
Tahun 2021 turut menyaksikan pelancaran baharu yang terhad dan model yang dinaik taraf.
Antara acara penting pada 2021 adalah pelancaran Perodua Ativa, Hyundai Staria, Hyundai Kona Electric, Toyota Corolla Cross, BMW iX, Volkswagen Arteon berwajah baharu, Proton Pesona dan Iriz berwajah baharu, Perodua Myvi berwajah baharu, dan model Honda City Hatchback serba baharu.
Pada tahun depan, kerajaan melalui Bajet 2022 melanjutkan pengecualian Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) sedia ada untuk kenderaan baharu di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga 30 Jun 2022.
Skim PENJANA menawarkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pemasangan tempatan (CKD), serta 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, SUV dan MPV yang dipasang sepenuhnya (CBU).
Bank Negara Malaysia menerusi mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk tahun ini pada 3 Nov lepas, mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus selepas mempertimbang prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia di tengah-tengah kebimbangan mengenai pandemik COVID-19 yang berlarutan.
Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif Malaysia kira-kira 500,000 unit setahun dijangka meningkat tahun depan dengan persekitaran kadar faedah rendah, serta pelepasan cukai PENJANA dan dasar kerajaan yang menggalakkan bagi memulihkan permintaan domestik.
Menggalak pembelian kenderaan elektrik untuk capai objektif karbon rendah
Kerajaan menerusi Bajet 2022 menyasarkan sektor kenderaan elektrik (EV) menerima pengecualian sepenuhnya duti import, duti eksais dan cukai jualan bermula tahun depan.
Pengecualian cukai jalan 100 peratus akan diberikan kepada pembeli EV serta pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.
Insentif itu merangkumi 100 peratus pengecualian duti ke atas EV CBU sehingga 31 Dis 2023 dan 100 peratus pengecualian duti ke atas EV CKD sehingga 31 Dis 2025.
Kesemua ini, sejajar dengan aspirasi negara untuk matlamat mobiliti rendah karbon dan agenda mobiliti hijau seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dijangka memangkin permintaan dan merangsang peralihan industri terhadap segmen EV serta mempercepatkan perjalanan Malaysia untuk menjadi negara bebas karbon menjelang 2050.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai