Krisis iklim: M'sia dulu hero di Paris tapi sendiri di COP26 - Sahabat Alam
Pendirian Malaysia dalam rundingan antarabangsa mengenai krisis iklim menjadi tanda tanya susulan Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC-COP-26) bulan lalu.
Ini apabila Malaysia didakwa bertindak berunding secara bersendirian pada sidang COP26 di Glassgow pada bulan lalu dan tidak lagi menjadi sebagahagian dari kumpulan 'like minded' negara-negara membangun (LMDC).
Pun begitu, terdapat percanggahan pendirian antara Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) dan Kementerian Luar, kata Presiden NGO Sahabat Alam Meenakshi Raman kepada Malaysiakini.
"Sebab saya difahamkan. Kedudukan Malaysia dalam kumpulan negara-negara 'like minded' ini sudah tidak pasti.
"Sebab mengikut Kasa, bukan Wisma Putra, Malaysia tidak mahu menjadi ahli dalam 'like minded' ini.
"Tetapi saya dengar Wisma Putra mahu Malaysia kekal dalam kumpulan ini," katanya ketika ditemui di Pulau Pinang baru-baru ini.
Dalam perundingan di COP26 itu suara Malaysia tidak banyak, menurut Meenakshi (gambar, bawah) yang turut hadir sidang UNFCCC itu atas kapasiti delegasi masyarakat sivil.
"Sebab Malaysia ini dulu, dia kuat dalam apa yang dipanggil kumpulan 'like minded' negara-negara membangun.
"(Di Paris pada 2015) Malaysia menjadi jurucakap untuk kumpulan 'like minded' ini.
"Kumpulan like minded ini terdiri dari lebih kurang 20 negara, termasuk India, China, Pakistan, Vietnam, Sri Lanka, Arab Saudi, Mesir, Sudan, Qatar, Kuwait, Iran, Iraq, Venezuela, Cuba, Nicaragua, Bolivia, Dominica.
"Sekarang ini jurucakapnya Bolivia. Ini adalah kumpulan yang kuat. Kalau kamu ambil kira jumlah penduduknya itu, separuh populasi dunia dalam kumpulan negara-negara ini. India dan China sahaja sudah terlalu besar," jelasnya.
Walaubagaimanapun, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan Malaysia tidak perlu berunding melalui LMDC ketika di COP26.
"Sebab perundingan Malaysia juga dibuat bersama G77 bersama China. Malaysia juga mengadakan perundingan dengan rakan Asean yang lebih dekat dan mempunyai geografi yang sama," katanya ringkas.
Untuk rekod, Kumpulan 77 (G-77) telah ditubuhkan pada 15 Jun 1964 oleh tujuh puluh tujuh negara membangun yang menandatangani deklarasi bersama yang dikeluarkan pada akhir sesi pertama Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) di Geneva.
Malaysiakini juga telah menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan Malaysia dalam LMDC dalam rundingan perubahan iklim di UNFCC tetapi masih belum mendapat sebarang maklum balas.
Dalam perkembangan bekaitan, Meenakshi juga diminta mengulas mengenai kehadiran Tuan Ibrahim yang didakwa 'terlambat' apabila datang berucap di sidang COP26 pada 10 Nov.
Dia berkata perkara berkenaan tidak menjadi persoalan tetapi rumusan di sebalik rundingan antara negara-negara itu yang penting.
"Saya tidak salahkan beliau (Tuan Ibrahim) sebab yang penting itu - ramai menteri (negara-negara lain) pada mulanya mereka datang (pada majlis pembukaan) dan kemudian mereka datang lagi sekali.
"Sebab perundingan itu yang penting. Keputusan akhirnya," jelasnya.
Menurut Meenakshi perundingan di COP26 bukan sahaja melibatkan wakil Kasa tetapi juga kementerian lain, Ketsa, Kementerian Kewangan dan Wisma Putra.
"Tetapi kementerian utama di COP26 adalah Kasa," katanya lagi.
Kenyataan Negara di Sesi Peringkat Tinggi Persidangan UNFCCC COP26 pada 10 Nov lepas disampaikan Tuan Ibrahim menyebut sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) Malaysia melalui pengemaskinian Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) dan aspirasi pelepasan GHG sifar bersih "seawal-awalnya pada 2050."
Pendirian sasaran GHG sifar bersih Malaysia ini juga sama dengan penegasan negara-negara maju pada COP26.
China dan Arab Saudi pula menyasarkan 2060 untuk mencapai sasaran berkenaan, dengan India pula menyasarkan 2070 untuk mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau bersih.
Menurut Meenakshi, kumpulan LMDC tidak bersetuju untuk negara maju dibenarkan mencapai sifar bersih menjelang 2050, kerana ini bermakna sukar untuk menahan suhu dunia daripada melepasi 1.5 darjah Celsius.
COP26 gagal bincang komitmen kewangan
Juru runding utama Bolivia, Diego Pacheco yang bercakap mewakili LMDC dilaporkan berkata 60 peratus daripada ruang karbon telah dipenuhi oleh pelepasan dari negara maju yang menempatkan 18 peratus penduduk dunia.
"Jika kita meneruskan cadangan sifar bersih menjelang 2050 untuk semua negara, ini adalah tidak adil.
"Kerana negara maju sebenarnya harus mencapai sifar sebenar dengan secepat mungkin dan bukan tunggu sampai 2050, kerana tidak cukup ruang karbon untuk mereka. Negara membangun pula perlukan teknologi dan kewangan untuk ke arah karbon rendah.
"Naratif sifar bersih bagi semua akan membolehkan negara maju mengawal dunia dengan penjajahan karbon. Negara membangun akan dikutuk dari segi etika dan kewangan kerana tidak mematuhinya,” katanya pada 12 Nov lalu.
Pacheco juga menegaskan tanggungjawab sejarah negara-negara maju dalam menyebabkan krisis iklim tidak boleh diabaikan.
Sidang COP26 mempertemukan 197 buah negara yang memeterai Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC) dengan kehadiran lebih seratus pemimpin dunia, bermula 1 Nov hingga 123 Nov lalu.
Antara pemimpin dunia yang hadir pada majlis pembukaan COP26 1 Nov lalu ialah Perdana Menteri UK Boris Johnson sebagai negara penganjur, Presiden AS Joe Biden, Canselor Jerman Angela Merkel, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Turki Tayyip Erdogan.
Dalam perkembangan berkaitan, Meenakshi berkata COP26 gagal merundingkan perkara pokok kesinambungan Perjanjian Paris mengenai komitmen kewangan negara maju dalam mitigasi untuk menangani krisis iklim serta untuk adaptasi.
Selain itu, katanya COP26 juga gagal membincangkan pampasan kerugian dan kehilangan akibat kemusnahan kesan krisis iklim di seluruh dunia.
Ini khususnya untuk negara-negara miskin dan sedang membangun yang menghadapi kesan langsung akibat perubahan iklim, seperti pesisir pantai dan pulau yang tenggelam serta bencana kemarau, ribut dan banjir.
"Malaysia menjadi hero di Paris. Tapi selepas itu, suara Malaysia kurang sekali. Ada orang yang tanya, apa jadi?
"Kenapa daripada hero di Paris sekarang kita tidak nampak Malaysia di pentas antarabangsa mengenai perubahan iklim," kata Meenakshi.
Ketika perundingan Perjanjian Paris, ahli parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjadi menteri alam sekitar.
Untuk rekod, perjanjian digariskan dalam kerangka Konvensyen PBB mengenai Perubahan Iklim dalam sidang di kota Paris, Perancis dan dimeterai oleh 197 buah negara dunia pada Disember 2015.
Di COP 2010, negara-negara maju dan kaya telah setuju untuk menyumbangkan dana tahunan sebanyak AS$100 bilion setahun menjelang 2020 dan jumlah ini akan ditambah lagi setelah 2025 di bawah Perjanjian Paris, suatu hal yang sepatutnya menjadi fokus COP26.
Dana yang dijanjikan sebelum ini, bertujuan untuk membantu negara membangun beralih daripada bahan api fosil dan menyesuaikan diri dengan realiti masa depan dunia yang lebih panas dan juga untuk adaptasi.
Ini pengiktirafan bahawa negara miskin paling tidak bertanggungjawab terhadap perubahan iklim, memandangkan negara maju menjadi kaya dengan pelepasan gas rumah hijau sejak permulaan zaman perindustrian sehingga kini.
Perjanjian Paris mengikat secara perundangan dan lebih 192 buah negara telah meratifikasi perjanjian ini, termasuklah Malaysia yang mulai berkuat kuasa pada Disember 2016. Ia bermaksud dasar dan peraturan negara akan diselaraskan bersesuaian dengan garis panduan Perjanjian Paris.
Ia menentukan rancangan tindakan sejagat bagi mengelakkan kesan-kesan berbahaya akibat perubahan iklim dengan meletakkan had pemanasan global di bawah dua darjah celcius berbanding suhu sebelum zaman perindustrian. Ia menuntut negara-negara dalam muafakat ini mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke udara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai