Skip to main
Logo Malaysiakini

MIC sedia jemput pembangkang sertai j'kuasa pembangunan kaum India

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MIC menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pembangkang demi kepentingan kaum India di negara, menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan Masyarakat India yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

"Demi kebaikan dan pembangunan masyarakat India di Malaysia, MIC sedia bekerjasama dengan pemimpin India di kalangan pembangkang.

"MIC merasakan perlu ada kerjasama bipartisan dengan pemimpin India dari pembangkang. Saya sedia menjemput mereka untuk menyertai jawatankuasa kabinet yang bakal ditubuhkan.

"Malah, saya juga akan menjemput pembangkang untuk mengambil bahagian dalam yayasan yang dicadangkan oleh saya untuk menguruskan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra)," kata Presiden MIC SA Vigneswaran kepada pemberita di Perhimpunan Agung Tahunan MIC di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas cadangannya untuk sedia kerjasama bipartisan bersama pembangkang.

Terdahulu, Ismail dalam ucapan di perhimpunan agung MIC berkata Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan Masyarakat India akan dibentuk untuk memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) berjalan dengan baik.

Ismail berkata PTMI, yang merangkumi sasaran jangka pendek dan panjang, akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Sementara, Vigneswaran dalam ucapan dasar berkata bahawa kerajaan perlu menubuhkan satu yayasan untuk menguruskan dana Mitra.

"Kita lihat ada laporan mengatakan bahawa setiap tahun puluhan juta dana Mitra khas kepada kaum India dipulangkan semula kepada perbendaharaan setelah ia tidak digunakan.

"Jadi, saya cadangkan kita tubuhkan yayasan supaya dana ini tidak perlu dipulangkan dan baki dana yang tidak digunakan dibawa ke hadapan melalui yayasan ini," katanya.

Dia menambah dana Mitra hampir RM400 juta yang dipulangkan semula kepada kerajaan perlu diserahkan balik untuk kegunaan kaum India di negara ini.

Terdahulu, timbul juga laporan berkenaan penyelewengan dana Mitra yang diberikan menerusi geran kepada syarikat swasta, yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.