Skip to main
Logo Malaysiakini

MySejahtera jingga: Mahkamah pertimbang bicara kes Rosmah dalam talian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perbicaraan rasuah berkenaan projek solar hibrid melibatkan Rosmah Mansor mungkin dijalankan melalui prosiding secara dalam talian pada 23 Dis ini.

Ini berikutan isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu sekali lagi tidak dapat menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, kerana merupakan kontak rapat pesakit Covid-19 seperti yang dipaparkan pada status aplikasi Mysejahteranya.

Rosmah sebelum ini terlepas dua tarikh perbicaraan kerana status Mysejahteranya pada 8 dan 10 Dis.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hanya membenarkan mereka yang berstatus risiko rendah (warna biru) pada aplikasi MySejahtera untuk memasuki mana-mana premis.

Jika seseorang tidak diuji positif Covid-19, kebiasaannya akan mengambil masa 10 hari untuk status MySejahtera beralih ke kontak kasual (warna kuning) dan begitu juga bagi kontak rapat (merah) untuk  kembali kepada risiko rendah (biru).

Rosmah tidak kelihatan dalam mahkamah. Bagaimanapun, dia dilihat berada di dalam keretanya di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi.

Difahamkan, dia tidak dibenarkan masuk ke dalam premis mahkamah berikutan status Mysejahtera yang berwarna jingga.

Semasa prosiding Mahkamah Tinggi hari ini, hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah akan mempertimbangkan cadangan timbalan pendakwa raya (DPP), Gopal Sri Ram untuk mengadakan perbicaraan dalam talian.

Peguam tertuduh Jagjit Singh mengesahkan kepada mahkamah bahawa status Mysejahteranya masih jingga.

Sri Ram kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman membenarkan hakim mengarahkan prosiding dijalankan melalui prosiding secara dalam talian.

Bekas hakim mahkamah persekutuan itu berkata dia bersedia untuk mengatur agar DPP lain hadir di kediaman Rosmah pada prosiding secara dalam talian.

Sri Ram menambah, pegawai mahkamah juga boleh hadir di kediaman Rosmah supaya prosiding dalam talian dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.

Prosiding dalam talian melibatkan situasi di mana hakim dan pihak pendakwaan hadir di mahkamah, manakala tertuduh mengikuti prosiding dalam talian dari lokasi lain.

Pada Selasa dan Rabu minggu lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya, menjalankan prosiding secara dalam talian berkaitan rayuan kes rasuah RM42 juta SRC International membabitkan Najib.

Rosmah, 69, sebelum ini menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.