Skip to main
Logo Malaysiakini

MOU PH, Putrajaya antara sebab pemulihan hak Sarawak - Lim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | Memorandum persefahaman Putrajaya dengan Pakatan Harapan antara sebab mengapa satu lagi rang undang-undang pindaan perlembagaan berkaitan Sabah dan Sarawak dibentangkan semula, kata pemimpin veteran pembangkang Lim Kit Siang.

DAP secara konsisten berhujah menentang pindaan perlembagaan 1976 yang merujuk Sarawak dan Sabah sebagai "negeri" dan bukannya wilayah yang setanding dengan Semenanjung Malaysia, kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

"Apabila Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1976 diundi di parlimen pada 13 Julai 1976, ia disusuli dengan 130 undi menyokong dan sembilan undi menentang – kesemua sembilan undi itu datang daripada DAP termasuk saya sendiri.

"Mereka yang menyokong pindaan Perlembagaan pada 1976 yang mengurangkan Sarawak dan Sabah daripada wilayah yang setanding dengan Semenanjung Malaysia kepada salah satu daripada 13 negeri di Malaysia termasuk semua pemimpin Barisan Nasional Sarawak, seperti dua Ahli Parlimen yang menjadi Ketua Menteri Sarawak dan Yang di-Pertua Sarawak, Abdul Rahman Yaacob dan Taib Mahmud, ketua SUPP Ong Kee Hui dan Stephen Yong serta ketua SNAP Edmund Langgu, Patrick Uren dan Luhat Wan," katanya

Selepas PH membentuk kerajaan persekutuan pada 2018, Lim yang juga ahli parlimen Iskandar Puteri berkata pentadbiran baru telah berusaha untuk membatalkan pindaan 1976.

Pun begitu, jelasnya ia gagal selepas ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak (pengganti BN Sarawak) enggan menyokong rang undang-undang itu, sekali gus menafikan sokongan dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan.

"Kini, GPS mempunyai peluang lagi untuk membatalkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1976 esok kerana Memorandum Persefahaman (MOU) Keyakinan-Pembekalan-Reformasi (CSR) yang ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan empat pemimpin Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Wilfred Madius Tangau pada 13 September 2021,.

"MOU itu menyentuh bahawa pemulihan Sarawak dan Sabah sebagai dua daripada tiga wilayah dan bukan dua daripada 13 negeri di Malaysia ditangani dengan keutamaan dan harus menjadi salah satu isu utama CSR MOU,' katanya.

Ketua arkitek rang undang-undang pindaan perlembagaan baru itu ialah Ahli Parlimen GPS dan Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar, atas).

RUU itu bukan sahaja berusaha untuk memulihkan Perkara 1(2) kepada perkataan asalnya, tetapi juga mentakrifkan semula maksud Persekutuan Malaysia, definisi "Hari Malaysia" dan memberi kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan istilah "anak negeri."

Sementara itu, Lim mengulangi adalah tidak adil untuk pengundi menilai 22 bulan pentadbiran PH sedangkan gabungan itu diberi mandat memerintah selama lima tahun atau 60 bulan untuk menunaikan ikrar dan janjinya.

Lim berkata dalam tempoh 22 bulan itu, PH masih cuba membina asas kekuatannya selepas lebih setengah abad negara diperintah oleh hegemoni Umno.

"Terdapat satu lagi sebab mengapa pelaksanaan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan agak perlahan – DAP hanyalah satu daripada empat parti komponen gabungan Pakatan Harapan dan kita perlu menyakinkan tiga parti politik lain mengenai keperluan mendesak untuk memenuhi manifesto pilihan," katanya.

Lim berkata walaupun pengundi kecewa dengan PH, dia menggesa mereka tidak putus asa untuk Malaysia yang lebih baik dengan memastikan wakil rakyat DAP berada di dalam DUN.

Menurutnya, perkara tersebut dijelaskan dalam perbincangan bersama pengundi yang kecewa di Sibu.

"Saya bertanya kepadanya (pengundi) sama ada dalam kekecewaannya bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak dapat melakukan yang lebih baik dalam tempoh 22 bulan - kerana terdapat banyak tentangan yang kelihatan dan tidak kelihatan - adakah beliau mahu melihat DAP lenyap dan tidak wujud lagi.

"Beliau berkata beliau kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan tetapi beliau tidak mahu DAP hilang, kerana masa depan akan benar-benar gelap dan suram.

"Inilah yang dimaksudkan dengan pilihan raya umum Sarawak pada 18 Dis 2021," kata Lim lagi.