Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan tumpu pindahan teknologi lepas ratifikasi perjanjian RCEP, CPTPP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pindahan teknologi, latihan dan pembinaan kapasiti bagi pelabur dan syarikat multinasional yang datang ke Malaysia selepas ia meratifikasikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia adalah untuk memastikan pelaburan yang masuk ke negara ini akan menyediakan dan mencipta nilai bagi pemain tempatan sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang dilancarkan pada April tahun ini.

"Yang paling terkini adalah Porsche AG, yang memutuskan untuk membuka kilang di Kedah. Ini adalah bidang baru kejuruteraan -- kita memperkatakan tentang kejuruteraan kejituan -- yang kita boleh manfaatkan dan boleh dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan.

“Pembukaan kilang baru itu akan membuka peluang baru bagi tenaga kerja tempatan untuk belajar mengenainya,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan sempena dengan majlis penyerahan dan penghargaan Program Perantisan Pemindahan Teknologi (TTAP), di Kuala Lumpur, hari ini.

NIA adalah strategi berpandangan kehadapan yang bertujuan menarik pelaburan berkualiti yang dipacu inovasi, teknologi tinggi, ekonomi hijau dan inklusi rantaian bekalan domestik lebih meluas.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata usaha yang diselaraskan oleh sektor awam dan swasta adalah penting, justeru, kerajaan komited menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan domestik dan global, meningkatkan kapasiti tenaga kerja tempatan serta volum pengeluaran tempatan serta melonjakkan eksport dan pelaburan.

"Sejajar dengan NIA kita, ia bukan hanya sekadar memenuhi permintaan pasaran domestik tetapi juga menyasarkan pasaran global sebagai pembekal kepada pasaran dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata pasaran automotif telah berkembang dengan permintaan bagi kenderaan pintar dan bercirikan tenaga bersih terus meningkat.

“Kemudahan mobiliti itu bermakna bandar-bandar moden di serata dunia kini berdepan tekanan untuk membolehkan orang ramai mempunyai pilihan (pengangkutan) untuk bergerak secara lebih cekap dan dalam persekitaran yang mampan,” katanya.

Malah, beliau berkata, sebagaimana digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, negara ini telah melancarkan Dasar Kenderaan Elektrik (EV) sebagai memangkin permintaan EV dan membangunkan infrastrukturnya.

“Memandangkan EV mempunyai rantaian bekalan berbeza, bahagian mekanikal yang tidak banyak dan lebih bercirikan elektronik, kita turut mengambil langkah untuk menerajui rantaian nilai itu dengan TTAP sebagai turut menjadi pelengkap masa depan mobiliti tersebut.

“Tindakan menggalakkan tenaga kerja baru seperti jurutera Internet Pelbagai Benda (IoT), saintis data, juruteknik robotik dan pakar strategi rantaian bekalan digital merupakan satu tindakan perlu. Pada masa sama, kita juga perlu memastikan bahawa idea-idea Dasar Automotif Nasional dapat dilaksanakan dengan tepat pada tahun-tahun akan datang dalam usaha mengekalkan daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya.

TTAP yang dibangunkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Persona Energy Sdn Bhd, merupakan program pemindahan teknologi yang unik bagi melahirkan barisan tenaga kerja automotif, kepakaran dan teknologi rantaian nilai tempatan menerusi program perintis melibatkan jurutera tempatan terpilih bagi meraih pengetahuan kejuruteraan penting dalam teknologi perlumbaan di Kejuaraan Kereta Lasak Dunia Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Pada Jun lepas, empat jurutera perintis TTAP -- Muhammad Amzar Danish Chairil, Anderson Kent Robert, Luqman Othman dan Muhammad Taufiq Mohd Zin, telah menjadi sebahagian daripada pasukan JOTA di acara terbabit.

Sepanjang program itu, para perintis terbabit dianggap sebahagian daripada pasukan dan diberi tanggung jawab kejuruteraan masa nyata berkaitan segmen tertentu pembangunan kenderaan bagi setiap perlumbaan.

Ini termasuk pengumpulan dan analisis prestasi komponen kereta lumba, reka bentuk dan susun atur keperluan dan kelengkapan bengkel ketika perlumbaan, baik pulih serta penyelenggaraan kereta lumba dan aktiviti kejuruteraan yang diperlukan bagi tempoh pembangunan serta pada hari perlumbaan.

- Bernama