Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir di Kedah, satu PPS dibuka malam ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Kedah yang melibatkan daerah Bandar Baharu bagi menempatkan 21 mangsa banjir daripada sembilan keluarga pada malam ini.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu Lt (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ulu itu diaktifkan pada pukul lapan malam.

Abdul Rahim berkata ini kerana hujan lebat yang agak luar biasa melebihi tempoh sejam pada 3.15 petang itu, menyebabkan air melimpah serta saliran parit yang tersumbat sehingga air memasuki rumah penduduk di Mukim Bagan Samak.

“Sebanyak 21 rumah penduduk terlibat yang melibatkan Kampung Parit Nibong, Kampung Asam Kumbang, Taman Cahaya Nilam dan kawasan sekitar Sungai Tepus,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abdul Rahim berkata meskipun paras air telah surut secara perlahan, namun air masih bertakung dengan lumpur di rumah penduduk yang berada di PPS berkenaan.

“APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) melakukan pemantauan di kawasan yang dinaiki air dan membantu mengepam air keluar dari rumah penduduk yang dimasuki air,” katanya.

-Bernama