Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ada angin perubahan pada kaum Cina di Sarawak sokong GPS'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum rakyat Sarawak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12, perhatian kini tertumpu kepada bagaimana komuniti Cina akan memilih wakil rakyat di 16 daripada 82 kawasan Dewan Undangan Negeri yang didominasi kaum itu.

Sering dilihat sebagai penyokong pembangkang di kebanyakan kawasan bandar, pengundi Cina pada umumnya terpaksa bergelut dengan realiti baharu demi kelangsungan hidup selepas negara dilanda pandemik COVID-19 dan perlu melihat semula kecenderungan mereka bagi menukar landskap politik di peringkat negeri serta nasional.

Perebutan bagi kerusi yang didominasi kaum Cina bakal menyaksikan pertarungan sengit antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Datuk Richard Wee, yang memegang beberapa jawatan sebagai pemimpin masyarakat, berkata terdapat “angin perubahan yang bertiup sepoi-sepoi bahasa” ke arah GPS yang diterajui Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kaum Cina juga dilihat sedang memanaskan badan ke arah kerajaan negeri kerana ia adalah kerajaan tempatan yang mentadbir untuk diri kita sendiri. Lebih-Lebih lagi ketika ini, kaum Cina Sarawak amat menghargai kestabilan politik dan keharmonian bangsa, agama dan budaya yang dimiliki serta tidak lagi mengambil mudah atau memandang remeh perkara itu selepas menyaksikan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia,” katanya.

“Secara amnya, kaum Cina sudah bosan dengan semua ketidaktentuan ini terutama pada waktu-waktu sukar yang dihadapi dari segi ekonomi dan ancaman COVID-19.”

Wee ialah Presiden Persekutuan Persatuan Cina di bahagian Kuching, Samarahan dan Serian yang menaungi 121 persatuan dengan masing-masing mempunyai ahli individu antara 500 hingga 1,000 orang. Beliau turut mengetuai Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sarawak dan Persatuan Hockien Kuching.

Beliau mengaku telah dikritik oleh DAP tahun lepas kerana mengeluarkan kenyataan bahawa lebih ramai pengundi Cina di kawasan bandar memberikan sokongan mereka kepada GPS.

“Saya hanya menyatakan perkara itu selepas diminta memberi pandangan oleh media tempatan. Jika saya betul, tak apa. Jika tidak, saya yang tersilap. Saya tidak pernah menggesa kaum Cina untuk mengundi GPS,” katanya.

Buat julung kalinya, empat parti komponen GPS bertanding sebagai gabungan politik dari seluruh negeri Sarawak dan bukan lagi di bawah sepanduk Barisan Nasional. Ia terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di bawah kepimpinan Abang Johari, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

DAP, yang merupakan pembangkang, telah dikritik hebat dan dibidas kerana didakwa gagal menunaikan janjinya kepada rakyat negeri itu ketika menjadi sebahagian kerajaan Pakatan Harapan di peringkat persekutuan dan selepas sedekad, tindak-tanduk parti pimpinan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen itu telah diperhatikan dengan teliti lebih-lebih lagi perkhidmatan yang dihulurkannya kepada rakyat.

“DAP, dalam erti kata lain, perlu membela diri namun mereka masih mempunyai ramai penyokong tegar. Persoalannya di sini ialah sama ada mereka boleh mengumpul kesemua penyokong ini untuk mengundi mereka. Jika jumlah pengundi rendah, ia akan memberi kesan buruk kepada mereka,” kata Oh Ei Sun, Felow Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Angin perubahan baharu sememangnya sudah mula bertiup ke arah SUPP, kata penganalisis politik Dr Lee Kuok Ting dari Universiti Malaysia Sabah yang menjangkakan parti itu akan mempergiat usaha untuk memenangi enam kerusi Cina dan satu kerusi Dayak daripada 13 kerusi yang ditandingi pada 2016.

“Saya percaya lebih ramai kaum Cina akan memilih SUPP. Berdasarkan perbualan saya dengan orang ramai di lapangan sekitar Kuching, naratifnya kini adalah berbeza. Mereka mahu sesetengah perkara berubah kepada yang lebih baik untuk meningkatkan kehidupan dan mata pencarian mereka,” kata Lee.

SUPP bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri yang didominasi pengundi Cina kecuali Dudong di mana GPS telah meletakkan Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing sebagai calonnya. Ia akan berentap dengan DAP dan PSB di 11 kerusi.

PSB tidak bertanding di kerusi DUN Padungan, Batu Kawah dan Repok. Parti itu, yang diterajui ahli politik veteran Datuk Seri Wong Soon Koh, bakal membuat penampilan sulung dan dianggap sebagai lawan yang boleh dipercayai dalam kalangan parti pembangkang baharu yang bertanding.

Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian pula dijangka mempunyai kelebihan bagi mengekalkan kerusi Batu Kawah di mana pencabar utama beliau ialah Dr Kelvin Yii daripada DAP.

Padungan pula disebut-sebut sebagai antara kerusi paling panas yang menyaksikan persaingan sengit antara Chong daripada DAP dan Datuk Wee Hong Seng, yang merupakan Datuk Bandar Kuching Selatan, daripada SUPP.

Chong bertanding di kawasan itu bagi menggantikan pemenang sebelum ini Wong King Wei yang keluar daripada parti itu tahun lepas untuk menjadi ADUN Bebas dan tidak berhasrat bertanding untuk penggal ketiga.

Bawang Assan pula berada dalam radar kerana Presiden PSB yang mengekalkan kerusi itu pada 2016 menjadi calon parti pemerintah. Beliau berdepan persaingan lima penjuru pada PRN kali ini dan GPS meletakkan Robert Lau daripada SUPP sebagai calonnya.

Pengundian awal bermula hari ini untuk anggota polis dan tentera sebelum hari mengundi Sabtu ini.

- Bernama