Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembangkang tak sokong pindaan Akta 342 dalam bentuk dibentang - Anwar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pembangkang menyuarakan bantahan terhadap Rang Undang-Undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di parlimen hari ini.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada satu kenyataan berkata Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa rang undang-undang itu akan dibahaskan pada Khamis, hari terakhir Parlimen untuk tahun ini.

"Dewan Rakyat difahamkan RUU ini bakal dibahas pada hari Khamis ini, iaitu hari terakhir sidang Parlimen bagi tahun ini.

"Setelah memperinci keseluruhan RUU ini, mendengar pandangan ahli-ahli parlimen dan respon rakyat yang sangat gusar dengan jumlah denda dan kompaun yang keterlaluan yang mungkin membuka ruang berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘Antara Dua Darjat’, saya dan saf pembangkang tidak boleh menyokong RUU ini dalam bentuk yang telah dibentang.

"Saya telah menyatakan pendirian ini kepada perdana menteri," kata ahli parlimen Port Dickson itu.

Akta 342 pada masa ini memberi ketua pengarah kesihatan kuasa untuk mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard, seperti kegagalan memakai topeng muka di tempat awam.

Bagaimanapun, bawah pindaan yang dicadangkan itu, pesalah mungkin akan dikenakan denda maksimum RM100,000, atau penjara tidak melebihi tujuh tahun, kedua-duanya.

Denda adalah lebih tinggi bagi badan korporat, dengan penalti maksimum sehingga RM2 juta.

Awal hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata garis panduan untuk mengeluarkan kompaun itu sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan selepas rang undang-undang itu diluluskan.