Skip to main
Logo Malaysiakini

Kit Siang: Mana kad laporan pencapaian 100 hari duta khas PM?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari turut dibuat terhadap empat duta khas perdana menteri, iaitu Abdul Hadi Awang, Tiong King Sing, Richard Riot and SA Vigneswaran.

Ia selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan seluruh jemaah menteri mencapai prestasi sekitar 90 peratus sepanjang 100 hari pentadbiran.

Ismail Sabri juga melantik empat duta khas, iaitu Hadi Awang (Timur Tengah), Tiong King Sing (China), Richard Riot (Jepun, Korea Selatan dan Taiwan) dan SA Vigneswaran (India dan Asia Selatan).

"Jika empat duta besar ini tidak dapat menghasilkan kad laporan 100 hari mereka, apakah fungsi mereka ini?

"Saya sebelum ini bertanya sama ada duta khas Malaysia ke Timur Tengah telah disekat daripada menjejak kaki ke Arab Saudi, dan tidak pernah melawat Arab Saudi sejak dilantik sebagai duta khas setakat April 2020, tetapi tiada jawapan yang diberikan.

"Berapa kali Tiong melawat China sejak pelantikannya dan apakah yang telah dilakukannya untuk mewajarkan pelantikannya? Soalan yang sama ditujukan kepada Hadi, Richard Riot dan Vigneswaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim mempersoalkan fungsi pelantikan duta atau utusan khas ke mana-mana wilayah apabila dia tidak dapat membuat kunjungan ke wilayah tersebut.

Ahli parlimen Iskandar Puteri itu menyifatkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad di Dewan Rakyat semalam, berhubung bilangan utusan khas dan penasihat perdana menteri sebagai “mengejutkan”.

"Persoalan pertama yang terlintas di fikiran ialah mengapa perdana menteri mempunyai begitu ramai penasihat khas dan duta khas kerana beliau sudah mempunyai kabinet gergasi yang terdiri daripada 31 menteri dan 38 timbalan menteri dan tidak kurang juga pesuruhjaya tinggi dan duta besar di seluruh dunia?

"Adakah Ismail Sabri bersedia untuk meminta kelulusan khusus daripada parlimen bagi memberi kuasa kepadanya untuk melantik penasihat khas dan duta khas? Jika tidak, ini bukan kerajaan parlimen tetapi kerajaan penasihat khas di Malaysia!" katanya lagi.

Menurut jawapan Abdul Latiff, Ismail Sabri pada masa ini memiliki lima penasihat khas.

Selain empat duta khas tersebut, seorang lagi adalah Azalina Othman Said yang menjadi penasihat dalam soal undang-undang dan hak asasi manusia.

Kelima-limanya menelan belanja RM136,136 sebulan. Sekiranya mereka berkhidmat selama dua tahun penuh, mereka dijangka membelanjakan wang pembayar cukai berjumlah RM3.267 juta.