Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk DUN Opar kecewa isu harga barang, janji bina jambatan tak dipenuhi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | Sekarang adalah musim pilihan raya di Sarawak tetapi politik barangkali perkara terakhir di fikiran pengundi di Opar, kawasan DUN di sebelah barat Kuching.

Bercakap dengan Malaysiakini, penduduk tempatan di kawasan separa luar bandar ini lebih bimbang tentang kenaikan harga barang dan bahan pertanian.

Ini menyebabkan ramai di kawasan pinggir bandar, yang mejoritinya masyarakat Bidayuh, menyalahkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana gagal membendung inflasi.

Neyia Misin mengusahakan ladang dan menjual sayur-sayuran di Kampung Stenggang, kira-kira 75 minit pemanduan ke barat daya Kuching.

Wanita berusia 61 tahun itu berkata, pada masa lalu dia dapat menghabiskan barangan dengan cepat tetapi gerainya di tepi jalan kini penuh dengan hasil yang tidak terjual walaupun sudah menjengah tengah ahri, seperti yang dilihat Malaysiakini ketika menemuinya.

Dia berkata perniagaan pada masa ini tidak baik tetapi kos telah meningkat sejak tiga bulan lalu.

Neyia Misin (dua dari kiri)

Neyia berkata harga racun rumput telah meningkat dua kali ganda baru-baru ini, hampir RM500 bagi setiap 20 liter. Harga baja pula meningkat satu setengah kali ganda, daripada RM120 kepada RM180 bagi setiap 50kg.

Bagaimanapun Neyia tidak dapat menaikkan harga jualannya kerana dia tidak mahu kehilangan pelanggan yang kebanyakannya orang kampung.

“Memang marah kerana kita sudah tidak mampu beli barang (diperlukan). Jual sayur sikit, beli baja mahal.

"Kita pun mahu makan juga, bil api dan air lagi. Kalau jual sayur macam ini baru dapat RM30, beli baja kena keluar ratus," katanya.

"Mahu tukarlah kerajaan ini. Kenapa mahu kekal yang sama? Cuba yang lain, lagi lima tahun boleh tukar lagi. Berganti-ganti ini bagus," katanya.

'Kerajaan gagal'

Bukan setakat petani dan penjual sayur-sayuran sahaja yang tertekan dengan isu kenaikan harga.

Mida Nowil dan keluarganya mengusahakan kedai kopi dekat Sungai Batang Kayan.

Dia hairan bagaimana harga bawang merah, misalnya, telah meningkat sebanyak 300 peratus dalam tempoh tiga bulan - daripada RM8 kepada RM25 sekilogram.

Maka Mida terpaksa mengekalkan harga, tetapi dengan makanan yang dikurangkan.

"Kita marah pun ada. Saya salahkan kerajaan yang ada. Sebab kita tahu ini semua di tangan kerajaan (untuk kawal harga). Kerajaan sepatutnya tolong kurangkan atau kawal harga barang.

"Saya ingat kerajaan sekarang gagal, maka kita harus tukar. Takkan mereka tak betul pun kita masih sokong," kata peniaga berusia 69 tahun itu.

Mida Nowil di kedai kopi miliknya

Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di peringkat persekutuan.

Kementerian itu membelanjakan RM100 juta untuk mengadakan bazar "Keluarga Malaysia" di seluruh negara bagi menjual makanan asas pada harga yang lebih rendah, serta memperuntukkan RM150 juta untuk subsidi harga minyak masak.

18 tahun, tiada jambatan

Sejak tahun 2003, penduduk Kampung Selampit di Opar telah memohon untuk pembinaan jambatan merentasi Sungai Batang Kayan.

18 tahun kemudian, penduduk kampung masih perlu membayar 30 sen untuk perjalanan sehala merentasi sungai yang dipenuhi buaya untuk pergi ke sekolah, bekerja, mengangkut barang dan mendapatkan rawatan perubatan.

Ranum Mina telah menjadi wakil rakyat Opar sejak tiga penggal lalu. Dia merupakan wakil rakyat kerajaan negeri sehinggalah menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2019.

Penduduk tempatan masih ingat kenyataan Ranum pada 2016 apabila dia berjanji jambatan tersebut akan dibina setelah menerima peruntukan RM10 juta daripada kerajaan persekutuan.

Mereka juga masih ingat apabila pada 2018, dia berkata projek itu memerlukan dana tambahan RM20 juta.

Apabila Malaysiakini bertemu seorang lagi penduduk, Dorris Ragu, dia sedang menolak kereta sorong yang penuh dengan barangan untuk dijual di kedai runcitnya.

Wanita berusia 60 tahun itu mengeluh betapat penatnya untuk membawa barangan merentasi sungai beberapa kali setiap minggu.

Ekoran perjalanan yang sukar serta inflasi, Dorris berkata dia tiada pilihan selain menjual bawang merah pada harga RM25 sekilogram, walaupun tahu tidak ramai penduduk yang mampu mendepani kenaikan itu.

Memandangkan keadaan yang tidak bertambah baik, dia berkata tiada gunanya pergi mengundi.

"Lebih baik tidak mengundi. Kami tidak mendapat apa-apa," katanya.

Kedai runcit milik Dorris Ragu

Ranum: GPS sekat dana

Ditanya mengapa jambatan itu tidak dibina, Ranum menyalahkan GPS yang didakwanya menyekat dana yang dijanjikan selepas dia keluar daripada gabungan itu.

"Mereka tahan dana. Sepatutnya Jabatan Kerja Raya keluarkan tender pada Oktober 2019. Saya sudah pun bincang dengan mereka.

"Sekarang peruntukan hilang ke mana pun saya tidak tahu," katanya ketika dihubungi.

Mengenai sebab mengapa RM30 juta diperlukan untuk jambatan sepanjang 100 meter itu, Ranum berkata ia disebabkan "sungai yang luas".

Ditanya sama ada dia akan dapat menunaikan janji sekiranya berjaya mempertahankan kerusinya, dia berkata:

"Kita tak boleh nak janji apa-apa. Kalau kita kerajaan kita boleh bercakap tentangnya.

"Jika PSB jadi kerajaan Sarawak, saya akan bangkitkan kembali perkara ini," kata Ranum.

Masih belum pasti

Di sebalik kesukaran ini serta enam pilihan di kertas undi, penduduk tempatan dilihat masih belum memutuskan calon pilihan mereka.

Selain Ranum (PSB), turut bertandin di kerusi DUN Opar ialah Billy Sujang (GPS-Supp), Meneng Biris (PKR), Saini Kakong (PBDSB), Bayang Telon (Sedar) dan Freedy Misid (PBK).

Meneng Biris (tiga dari kiri)

Opar termasuk dalam kawasan Parlimen Mas Gading. Pada PRU 2014, pengundi di Kampung Stenggang dan Kampung Selampit menyokong calon PH Mordi Bimol, yang menang di kerusi itu.

Kali ini, pengundi berkata mereka tidak mengenali Meneng, walaupun selepas calon PKR itu telah turun berkempen di kampung mereka.

Perkara sama juga berkenaan calon pembangkang yang lain.

"Saya tidak kenal dan tak pasti tentang mereka," kata Dorris kepada Malaysiakini.

[Baca berita asal]