Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Buka mata kita, Tribunal Uyghur sahkan ada penghapusan bangsa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada Penghakiman yang dikeluarkan Tribunal Uyghur, iaitu tribunal bebas yang dipegerusikan Sir Geoffrey Nice QC baru-baru ini.

Penghakiman tersebut dibuat setelah melalui proses pendengaran dengan mengambil keterangan saksi-saksi keluarga mangsa yang dizalimi oleh kerajaan China termasuk saksi pakar dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Dalam penghakiman yang dikeluarkan, tribunal menjelaskan wujud elemen penghapusan bangsa (genocide) oleh kerajaan China terhadap etnik Uyghur dengan menghalang kelahiran bayi daripada etnik tersebut secara sistematik.

Ini termasuklah wanita Uyghur dalam tahanan dipaksa mengambil ubat yang merosakkan fungsi kelahiran, wanita yang sedang mengandung dipaksa mengggugurkan kandungan, wanita Uyghur dipaksa membuang rahim dan menjalani “effective strerilization” menerusi kaedah pembedahan.

Dalam masa yang sama, tribunal tersebut mengesahkan berlakunya penindasan berat ke atas etnik Muslim Uyghur di wilayah Xinjiang.

Antara bentuk penindasan termasuklah warga Uyghur ditahan dan dipisahkan daripada keluarga di dalam kem serta terdapat dalam kalangan mereka yang dibunuh.

Simbol Islam dilarang digunakan, termasuklah tudung, janggut, doa dan solat, serta belajar ilmu agama dilarang sama sekali.

Abim menegaskan, penghakiman daripada tribunal bebas ini wajib membuka mata seluruh masyarakat dunia akan kekejaman kerajaan China terhadap etnik Muslim Uyghur di wilayah Xinjiang serta etnik minoriti lain daripada agama lain di China.

Sebagai badan bukan kerajaan, Abim menggesa seluruh masyarakat untuk melanjutkan dan meluaskan kempen-kempen kesedaran ke seluruh dunia untuk menyedarkan masyarakat tentang penindasan yang dilakukan ke atas umat Islam Uyghur dan etnik minoriti lain.

Masyarakat dunia perlu secara tegas menyuarakan solidariti buat umat Islam Uyghur dan etnik lain yang ditindas atas dasar perikemanusiaan serta hak asasi manusia.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.