Skip to main
Logo Malaysiakini

‘DNB berbeza dengan 1MDB’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa memberi jaminan bahawa Digital Nasional Berhad (DNB) yang bertanggungjawab terhadap pelancaran rangkaian 5G di negara ini sama sekali berbeza dengan 1MDB.

Dia menjawab soalan ketua pembangkang Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan-Port Dickson) yang memberi amaran bahawa DNB boleh berakhir seperti 1MDB kerana kelulusan pelancaran rangkaian 5G di bawah DNB 'diselubungi rahsia'.

"Kita nak tegaskan di sini bahawa DNB dan 1MDB adalah perkara berbeza. Pertamanya ialah proses tender. Proses tender DNB telah distruktur oleh firma perkhidmatan professional bebas Ernst & Young mengikut piawaian global.

"Goldman Sachs tidak melalui tender terbuka. Mereka dilantik secara langsung untuk menaikkan bon (untuk 1MDB). Terdapat perbezaan yang besar," kata Yamani pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Yamani berkata DNB telah menganggarkan RM1.5 bilion lagi diperlukan untuk infrastruktur tambahan selain daripada kontrak RM11 bilion yang diberikan kepada Ericsson.

Oleh itu katanya, pelancaran rangkaian 5G dianggarkan menelan belanja kira-kira RM12.5 bilion.

Bagaimanapun, Anwar mengkritik jawapan tersebut dengan mengatakan mereka mahukan jawapan yang jelas di Parlimen.

Presiden PKR itu mempersoalkan apakah jumlah kos sebenar pelancaran rangkaian 5G kerana terdapat anggaran berbeza antara RM15 bilion hingga RM20 bilion.

"Proses penilaian, proses tender perolehan mesti dipatuhi. Ini bebanan negara, saya tak percaya ia RM12 bilion. Ini cuma nak meletakkan satu kadar yang rendah supaya tidak mengejutkan. Janganlah kita ulangi masalah yang sama," kata Anwar yang turut mempersoalkan siapa yang terlibat dengan kontrak itu serta mereka yang menerima komisen daripadanya.

"Kalau kita tak belajar daripada pengalaman 1MDB, kita takkan belajar bila-bila pun," tambah Anwar.

[Baca berita penuh]