Skip to main
Logo Malaysiakini

Undi18: Cuma Johor, Melaka belum turun umur layak jadi calon p'raya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Johor dan Melaka menjadi dua negeri terakhir yang masih belum menurunkan umur layak bertanding pilihan raya negeri kepada 18 tahun.

Justeru, kumpulan Undi18 berharap kedua-dua negeri itu akan membuat pindaan yang diperlukan segera.

"Justeru, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengiktiraf usaha yang telah dilakukan oleh sebilangan besar kerajaan negeri dan pihak akar umbi yang berkempen bagi memastikan belia seawal usia 18 tahun dapat bertanding dalam pilihan raya.

"Sehingga hari ini, hanya negeri Johor dan Melaka yang masih belum meluluskan rang undang-undang tersebut melalui dewan undangan negeri mereka.

"Kami berharap agar pindaan sebegini dapat dilaksanakan segera untuk manfaat semua," kata kumpulan itu pada satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bertepatan dengan pindaan perlembagaan untuk menurunkan umur mengundi dan kelayakan bertanding di peringkat persekutuan kepada 18 tahun berkuat kuasa hari ini.

Pindaan itu termasuk pendaftaran pemilih automatik bagi sesiapa yang berumur 18 tahun ke atas.

Pada masa ini kerajaan berkata belia akan didaftarkan kira-kira satu setengah bulan selepas usia mereka mencecah 18 tahun.

"Setelah bertahun-tahun melakukan advokasi dan berkempen, belia Malaysia akhirnya akan dapat menuai hasil kerja keras mereka.

"Kemuncak yang ditunggu-tunggu ini akhirnya akan membolehkan 5.8 juta rakyat Malaysia menggunakan hak asasi mereka sebagai rakyat negara ini untuk memilih pemimpin mereka di peti undi," kata Undi18.

Mereka berkata ini kemuncak kerja keras lima tahun yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, daripada NGO, badan kerajaan, ahli politik dan banyak lagi.

Hak mengundi bagi mereka yang berumur 18 tahun tidak akan terpakai semasa pilihan raya negeri Sarawak pada hari Sabtu, yang menggunakan daftar pemilih mulai November.