Caj pengeluaran ATM dikenakan semula mulai Februari
Banyak bank mula mengenakan kembali caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM)berkuatkuasa 1 Februari tahun depan.
Berdasarkan pemakluman di media sosial Facebook, CIMB misalnya memaklumkan mengenai pelaksanaan caj berkenaan kepada pelanggannya.
"Pelanggan yang dihormati, berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic," tulis CIMB dalam satu hantaran di Facebooknya.
Untuk rekod bank menghentikan seketika caj transaksi pengeluaran RM1 ketika negara berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP).
Selain CIMB, beberapa bank lain seperti Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, RHB Bank dan Citibank turut memaklumkan mengenai pelaksanaan caj berkenaan.
Maybank di Facebooknya menyatakan bahawa mulai 1 Februari, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.
"Harap maklum bahawa mulai dari 1 Februari 2022, caj transaksi RM1.00 untuk pengeluaran wang tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula. Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM Maybank," tulisnya.
Bank Islam pula memuat naik poster di media media sosialnya bagi memaklumkan perkara itu.
"Bagi pemegang kad Bank Islam, tiada caj dikenakan untuk pengeluaran menggunakan ATM Bank Islam," katanya.
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.
Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa PKP tanpa perlu dikenakan caj RM1.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai