Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu harap 'persefahaman' PRU15 dengan GPS akan dihormati

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | Bersatu berharap "persefahaman" parti itu dengan GPS untuk menarik diri daripada bertanding pilihan raya negeri sebagai pertukaran kerusi parlimen akan dihormati apabila PRU15 nanti.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengakui "ahli-sangat tertekan" dan "kecewa" kerana terpaksa terlepas pilihan raya yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, beliau memuji partinya kerana sebahagian besar ahlinya berpegang kepada janji dengan Pengerusi GPS Abang Johari Openg.

"Dalam pertemuan saya dengan Abang Jo di kediaman saya beberapa minggu lepas sebelum pilihan raya diadakan, kita ada persefahaman untuk (PRN) negeri kita sokong.

"Tapi bila PRU nanti kita harap ada persefahaman di mana ada calon daripada PN Bersatu bertanding di kerusi di mana kita sudah kuasai dan jugak kerusi yang kita pikir sesuai untuk dimenangi,” kata pengerusi Perikatan Nasional itu.

Bersatu menguasai dua kerusi parlimen di Sarawak - Saratok (Ali Biju) dan Puncak Borneo (Willie Mongin).

"Saya harap persefahaman yang dikatakan ini, pada satu tahap akan dihormati apabila tiba masanya," tegasnya.

Jelas Muhyiddin lagi, persefahaman ini melibatkan GPS memberi laluan kepada calon Bersatu di kerusi parlimen tertentu.

"Kami mahu bekerjasama," katanya.

'Kami boleh menang'

Walaupun Muhyiddin mengumumkan sebelum ini bahawa Bersatu tidak akan bertanding dalam pilihan raya Sarawak, lima calon Bersatu muncul pada hari penamaan.

Calon berprofil tinggi ialah Ali Biju, yang bertanding sebagai calon bebas di Krian.

Ahli parlimen Saratok dan timbalan menteri itu kemudian menarik diri dan mula berkempen untuk Friday Belik yang bertanding untuk GPS.

Pun begitu, namanya kekal tertera di atas kertas undi kerana berjaya dicalonkan.

Muhyiddin hari ini mengucapkan terima kasih kepada Ali kerana mengikut nasihatnya untuk "menarik diri."

Bekas perdana menteri itu juga berkata Bersatu pada mulanya yakin mampu memenangi kedua-dua DUN Krian dan Kemena.

"Kalau kita boleh bertanding itu hari, kita boleh membantu kemenangan juga tapi kita tarik diri walaupun ahli bawah desak untuk bertanding sebab persefahaman tadi," katanya.

Muhyiddin bercakap kepada media selepas berkempen untuk calon GPS di Batu Kawah dan Padungan.

Dia juga mengadakan sesi perbincangan Majlis Pemulihan Negara bersama penjawat awam dan pemimpin perniagaan atas kapasitinya sebagai pengerusi MPN.

[Baca berita asal]