Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Apabila maklumat hanya dihantar ke 'dinding'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Komunikasi ialah proses menghantar informasi dengan kefahaman dari satu pihak agar ia difahami dengan betul oleh pihak yang menerima. Jika sesuatu informasi itu dihantar tanpa maklum balas pasti daripada pihak penerima, maka proses itu adalah gagal.

Komunikasi berlaku melalui proses dua hala. Jika hanya sehala, itu adalah jelas bukan proses komunikasi. Itu mungkin proses syok sendiri.

Kejayaan sesuatu proses komunikasi bergantung kepada sampai atau tidaknya makna penghantar (sender) kepada penerima (receiver). Maksudnya, maksud sebenar daripada penghantar diterima oleh sasaran dengan tepat, bukannya makna yang diandaikan oleh penerima.

"Andaian adalah ibu segala cacamerba," kata Steven Seagal dalam filem Under Seige.

Masyarakat kita pula agak terkenal dengan sikap suka membuat andaian. Pantang ada kelompangan dalam komunikasi, mereka akan memasukkan rempah-ratus persepsi dengan secukup rasa.

Dalam ilmu komunikasi, pendapat Roland Barthes tentang kematian pengarang - yakni terputusnya hubungan makna teks (makna asal pengarang) dengan makna yang terbit daripada pembaca - tidak boleh dipakai sama sekali.

Sementara itu karya sastera pula merupakan sebuah komunikasi puitik. Ia berbeza dengan komunikasi yang asal iaitu komunikasi sesama manusia, di antara kumpulan dan di dalam kumpulan (interpersonal, intergroup and intragroup communication).

Elak hantar maklumat samar

Ada kalanya semasa berkomunikasi manusia membuat kiasan dan anologi untuk menambah kefahaman penerima.

Ada pula yang membuat sarkasme untuk tujuan memperli dan seumpamanya. Jika tersalah langkah boleh juga memakan diri seperti dalam kes analogi chopstick Dr Mahathir Mohamad yang dimanipulasi pihak tertentu sehingga menjadi isu rasis dan dijadikan senjata politik perkauman.

Oleh kerana penerima (audiens) adalah berbeza-beza tahap kefahaman mereka, maka kita akan dapati ada yang salah faham dan tidak dapat menangkap makna sebenar dalam komunikasi itu.

Apabila ini terjadi, kesalahan bukan hanya terletak kepada penerima. Penghantar juga bersalah kerana gagal mendapatkan maklum balas daripada penerima adakah penerima sudah benar-benar faham.

Dalam konteks membuat kenyataan akhbar atau pengucapan umum pula, penyedia teks ucapan harus mengelak daripada menulis bersamar-samar. Tulislah secara terang dan jelas.

Jika menjawab soalan wartawan secara spontan pula, sepatutnya jangan meletakkan audiens setara dengan diri anda. Anda harus meletakkan diri anda setara dengan aundiens.

Kepada orang politik, mereka perlu juga lebih berhati-hati dengan kenyataan yang boleh dimanipulasi untuk meraih laba oleh pihak lawan. 

Penyedia teks ucapan pula harus peka kepada hal-hal yang boleh menyebabkan bos mereka tergelincir ke dalam periuk yang mendidih.

Kegagalan komunikasi yang amat hebat boleh dianggap terjadi apabila seorang menteri berucap di forum antarabangsa dalam bahasa Melayu tanpa penterjemah yang sepatutnya.

Khalayak yang ada pula hampir semuanya langsung tidak memahami bahasa Melayu.

Berdasarkan laporan Malaysiakini, penterjemah langsung hanya disediakan jika pengucap menggunakan bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Bahasa Melayu pula bukan satu daripada bahasa rasmi PBB.

Justeru 'keghairahan' Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, memartabatkan bahasa Melayu memang wajar dipuji, tetapi kegagalan menyampaikan komunikasi di Glasgow itu juga agak fatal, justeru perlu ditegur.

Selain komunikasi daripada menteri itu gagal segagal-gagalnya, ia juga adalah kesia-sian usaha, selain terlepasnya peluang yang besar untuk negara. Ia belum lagi diambil kira dana negara - yakni wang rakyat - yang digunakan kerajaan untuk menghantar sekumpulan manusia membuat kerja sia-sia.

Komunikasi bukanlah hal remeh-temeh. Sesebuah kerajaan boleh tumbang kerana gagalnya pihak yang berkenaan beramal dengan ilmu komunikasi dengan baik. Pakatan Harapan sudah tentu patut belajar tentang hakikat ini.

Komunikasi sepatutnya dititikberatkan oleh semua orang termasuk ahli politik, orang yang menyediakan teks ucapan pembesar, serta yang bertanggungjawab dalam hal-hal perhubungan awam.

Semoga selepas ini, tiada lagi insiden kegagalan komunikasi di peringkat tinggi yang merugikan semua pihak. Mesej tidak sampai, wang pula dileburkan untuk kerja yang sia-sia.

Semoga mereka semua belajar berkomunikasi dan berhenti menjadi syok sendiri.


SANUSI DIN atau nama penanya Ibnu Din Assingkiri ialah penulis kreatif separuh masa yang mencintai alam sekitar sepenuh masa dan beliau juga berminat mengambil tahu tentang hal-hal politik semasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.