Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan 5 remaja disyaki buli pelajar di Muar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lima remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di sekitar Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru kerana disyaki terlibat dalam kes buli seorang pelajar sekolah menengah di Muar pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata kelima-lima mereka ditahan di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru semalam.

Menurutnya polis menerima laporan mengenai kejadian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dibuli pelajar-pelajar senior di sekolahnya pada kelmarin.

"Ekoran daripada kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan bengkak di bahagian rusuk kiri dan telah menerima rawatan di hospital.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada beberapa pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakan-rakannya menyebabkan mereka dibuli," kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.

Kesemua remaja berkenaan dijadual direman di mahkamah Muar hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

"Polis memandangkan serius terhadap kes-kes jenayah melibatkan pelajar khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat," kata Zaharudin.

- Bernama