Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganalisis: PSB pesaing terdekat GPS, bukan PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilihat sebagai pencabar terdekat gabungan pemerintah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri kali ini, berbanding Pakatan Harapan (PH).

Pandangan itu disuarakan secara senada oleh Pengarah Program Merdeka Center Ibrahim Suffian; Prof James Chin dari Universiti Tasmania; dan Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak.

Mereka berkata demikian ketika menjadi panelis webinar berjudul Pilihan Raya Negeri Sarawak: Siapa Pilihan Pengundi? Pada malam tadi.

Arnold mengaku terkejut melihat kemampuan PSB, yang ditubuhkan hanya tujuh tahun lalu, dalam aspek publisiti yang "tidak kalah" berbanding GPS - baik dari segi bendera, poster dan kain rentang.

“Jika kamu ke kedai kopi, mereka hanya sebut warna sahaja, ‘merah’,” katanya merujuk warna bendera PSB, yang menurutnya menenggelamkan GPS dan DAP dalam perang bendera.

“Pesaing sebenar ialah PSB, berbanding PH,” tambahnya dalam webinar anjuran Merdeka Center dan Dialektika TV yang dikendalikan oleh Liyana Marzuki.

Bagi Chin pula, populariti PSB antaranya disebabkan faktor ia diketuai oleh ahli politik yang sangat berpengalaman luas - Wong Soon Koh, yang pernah memegang pelbagai jawatan dalam kabinet Sarawak - selain mempertaruhkan sebahagian calon berkaliber yang juga pernah menjadi tokoh penting dalam kerajaan negeri.

“Bahkan manifesto mereka dihasilkan dengan begitu cantik, setanding dengan manifesto GPS, bahkan lebih baik lagi kerana mereka sebenarnya menyampaikan kebenaran,” katanya.

Publisiti yang dilakukan PSB, kata Chin, memberi gambaran tentang dana kukuh yang dimiliki mereka, dengan memberikan contoh bahawa harga bendera boleh mencecah sehingga RM10 sehelai pada musim pilihan raya.

“Perang bendera ini hanyalah simbol kepada betapa besar sumber yang sesuatu pihak ada,” katanya lagi.

Arnold pula, meskipun merasakan ramai pengundi tidak pun membaca manifesto parti yang bertanding secara terperinci, berpandangan setidak-tidaknya manifesto PSB yang lebih ringkas adalah lebih berkesan berbanding manifesto GPS.

Wong Soon Koh

Sepanjang tempoh kempen setakat ini, manifesto PSB didapati disiarkan di akhbar-akhbar utama Sarawak, dengan memenuhi beberapa muka surat penuh.

Pun begitu, mereka melihat laluan GPS untuk menang masih terbentang luas tanpa dapat dihalang mana-mana parti.

Bahkan PRN kali ini, kata mereka, bukanlah tentang kalah atau menangnya GPS mahupun perubahan pentadbiran, tetapi lebih kepada sejauh mana gabungan itu dapat merangkul kerusi dalam DUN.

‘Bukan pilihan raya, tapi referendum untuk GPS, Abang Jo’

Arnold tidak melihat GPS mampu menang lebih daripada 70 kerusi, namun mungkin sekitar 55 kerusi - tetap dengan majoriti dua pertiga.

Secara keseluruhan, terdapat 82 kerusi di DUN Sarawak.

Chin pula berkata PRN kali ini lebih kepada sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) kepemimpinan ketua menteri Abang Johari Abang Openg serta penjenamaan semula GPS dengan slogan “Sarawak first” yang dibawa mereka.

“Ini bukan pilihan raya yang membawa titik perubahan. Bahkan, saya fikir, menggunakan istilah ‘pilihan raya’ pun mungkin salah. Ia sebenarnya satu referendum terhadap penjenamaan semula GPS, dan referendum terhadap Abang Jo,” katanya.

Abang Johari

Katanya lagi, PRN ini juga ada signifikan tersendiri buat GPS memandangkan ini kali pertama ia bertanding di bawah nama dan lambang sendiri, bukan lagi dengan lambang dacing BN.

Bagi Ibrahim pula, PRN12 ini penting kepada GPS dalam banyak segi, memandangkan ia dilihat sebagai prospek rakan kongsi dalam PRU akan datang, baik oleh Perikatan Nasional (PN) serta Umno di dalam BN.

“Bagaimana prestasi GPS dalam PRN ini, akan menjadi indikator terhadap prestasi GPS dalam PRU nanti.

“Terdapat petunjuk jelas bahawa kedua-dua pihak, baik BN mahupun PN, sedang cuba memancing GPS, dan GPS perlu tunjukkan kepada bakal rakan kongsi mereka yang mereka kuat dan dapat memenangi kerusi.

“Lebih penting lagi, lebih banyak kerusi yang mereka menang, lebih banyak yang mereka boleh minta pada masa hadapan.

“Ini kerana mereka bukan lagi sekadar deposit tetap, tetapi kini ‘king maker’ - mereka boleh bina atau runtuhkan sesebuah kerajaan.” katanya.

Ibrahim turut melihat keputusan PRN ini akan diperhatikan secara dekat oleh ramai ahli politik di semenanjung, kerana ia akan mempengaruh dinamik politik di peringkat nasional.

“Jika GPS menang selesa, bermaksud mood (rakyat) berpihak kepada mereka, (jadi) mereka akan mahu mendesak agar PRU lebih awal. Bahkan khabar angin menyatakan secepat sebelum Ramadan,” katanya lagi.

Satu lagi parti pesaing, Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang membawa pemisahan Sarawak daripada Malaysia sebagai satu-satunya agenda parti mereka dalam PRN ini, tidak dilihat akan terlalu memberikan kesan.

Bagi Chin, ini bukan pertama kali isu pemisahan dibawa dalam PRN oleh calon, cuma ia tidak menjadi agenda yang didukung oleh ramai calon seperti yang dilihat pada calon PBK kali ini.

Namun, berdasarkan rekod PRN lampau, kata Chin, menyandarkan matlamat kepada hanya satu isu tunggal bukan langkah yang baik, memandangkan calon-calon yang berbuat demikian sebelum ini semuanya hilang deposit.

Secara keseluruhan, GPS meletakkan calon di kesemua 82 kerusi, PBK 72 calon, PSB 70 calon, PH 62 calon, Gabungan Anak Sarawak (Gasak) 25 calon, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) lima calon, PAS seorang calon, manakala calon bebas seramai 30 orang.

Hari mengundi adalah pada Sabtu ini.