Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: PH tetap akan bantah pindaan Akta 342

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menegaskan sekali lagi bahawa rancangan kerajaan untuk meminda Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), yang telah dibentangkan semalam, sama sekali tidak akan disokong.

Ia walaupun setelah Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pindaan terhadap draf asal pindaan, susulan bantahan PH.

"Pagi ini saya bersama beberapa ahli parlimen lain termasuk mantan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad telah menerima memorandum dari gerakan anak-anak muda dan aktivis rakyat.

"Mereka hadir bagi menyatakan pendirian tegas serta bantahan keras terhadap rencana kerajaan berhubung langkah melawan wabak menerusi pindaan pada Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

"Kami ahli-ahli Parlimen dari PH tidak boleh menyokong pindaan ini tatkala rakyat mahu dibuli dan ditekan oleh pemerintah," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dua hari lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali membentangkan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021, antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang itu.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.

Pindaan itu juga mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.

Namun selepas dibantah, pindaan dibuat bagi mengurangkan jumlah kompaun dan hukuman penjara.

Terdahulu Anwar menerima memorandum daripada sekumpulan anak muda yang tampil menyatakan bantahan terhadap rancangan kerajaan itu.

Mereka dilihat hadir dengan membawa plakad yang tertulis 'bantah Akta 342', '2 darjat' dan 'sengsara rakyat kerana kezaliman'.

Selain itu gambar Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang ditutup pada bahagian mata menjadi latar belakang kepada plakad '2 darjat'.

Pada masa sama, Khairy juga dilihat turun bertemu dengan kumpulan itu dan menerima memorandum daripada mereka.

Semalam Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ahli parlimen gabungan itu tetap tidak akan menyokong pindaan tersebut walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meringankan hukuman.

Katanya, selepas meneliti pindaan tersebut PH berpendapat RUU berkenaan masih menyediakan ruang yang luas kepada amalan dwistandard serta penyelewengan lain dalam pelaksanaannya.