Skip to main
Logo Malaysiakini

Khairy: Pindaan Akta 342 dibentang pada PSC sebelum ke Parlimen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan akan membentangkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) terlebih dahulu sebelum bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada hari yang sama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mengambil maklum akan kebimbangan dan keperluan terhadap itu dan bersetuju supaya ia dimurnikan terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada ahli parlimen.

Khairy berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan diadakan bersama Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan seterusnya bersama whip kerajaan berhubung pindaan Akta 342.

"Pada perbincangan tersebut, ketua pembangkang dan kedua-dua whip kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa pindaan ini amat penting untuk membantu kerajaan menangani bukan sahaja pandemik Covid-19 tetapi juga pandemik-pandemik lain yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan.

"Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengambil maklum akan kebimbangan kedua-dua pihak dan keperluan untuk pindaan ini dimurnikan terlebih dahulu sebelum dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga.

"Pemurnian ke atas pindaan bertujuan melindungi kepentingan rakyat agar tidak terbeban dengan nilai kompaun yang mungkin terlalu tinggi bagi sesetengah pihak dan pada masa yang sama menambah baik akta sedia ada untuk mencegah dan mengawal pandemik serta wabak dengan lebih berkesan.

"Justeru, mengambil kira pandangan yang diberikan dan kepentingan kesihatan awam negara, KKM akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan meneliti semula RUU Pindaan Akta 342," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Anwar menegaskan sekali lagi bahawa rancangan kerajaan untuk meminda Akta 342 yang telah dibentangkan semalam, sama sekali tidak akan disokong.

Ia walaupun setelah KKM membuat pindaan terhadap draf asal pindaan, susulan bantahan Pakatan Harapan.

"Pagi ini saya bersama beberapa ahli parlimen lain termasuk mantan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad telah menerima memorandum dari gerakan anak-anak muda dan aktivis rakyat.

"Mereka hadir bagi menyatakan pendirian tegas serta bantahan keras terhadap rencana kerajaan berhubung langkah melawan wabak menerusi pindaan pada Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

"Kami ahli-ahli Parlimen dari PH tidak boleh menyokong pindaan ini tatkala rakyat mahu dibuli dan ditekan oleh pemerintah," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas perdana menteri, Najib Razak antara yang turut mempersoalkan pindaan akta berkenaan di Facebooknya dengan menyifatkan tempoh masa dan nilai denda dikenakan tidak masuk akal.

Dalam pada itu, Khairy berkata dengan mengambil kira pandangan awam, pihaknya akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan bagi meneliti semula pindaan Akta 342.

"Justeru, mengambil kira pandangan yang diberikan dan kepentingan kesihatan awam negara, KKM akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan meneliti semula RUU Pindaan Akta 342.

"RUU pindaan Akta 342 seterusnya akan dibentangkan terlebih dahulu kepada PSC pada Isnin, 20 Disember 2021 sebelum dibentangkan bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada hari yang sama," katanya.