Skip to main
Logo Malaysiakini

Jumlah kematian Covid-19 lepasi 31,000 korban

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia melepasi 31,000 selepas 37 pesakit lagi dilaporkan meninggal dunia akibat wabak itu.

Jumlah itu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan semalam menjadikan jumlah kematian setakat ini seramai 31,026 orang.

Malaysia mencatatkan jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 939 kematian bagi setiap satu juta penduduk.

Daripada jumlah kematian baru, 10.8 peratus atau empat orang meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Pulau Pinang mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu sebanyak enam kes atau 16.2 peratus daripada kes kematian baru yang dilaporkan.

Ini diikuti Johor (4), Kedah (4), Perak (4), Terengganu (4), Negeri Sembilan (3), Pahang (3), Selangor (3), Sabah (2), Kuala Lumpur (2), Kelantan (1) dan Melaka (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Perlis, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 35 daripada 37 kematian yang dilaporkan atau 94.6 peratus berlaku dalam tempoh tujuh hari lalu.

Kematian selebihnya berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 42 kematian akibat Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata 34 kematian dalam tempoh tujuh hari, menunjukkan trend penurunan.

Setakat ini, sebanyak 712 kematian Covid-19 dilaporkan pada bulan ini.

Setakat semalam, sebanyak 56,229 kes aktif Covid-19 telah dikesan. Ini adalah pengurangan sebanyak 7.6 peratus daripada 60,856 kes aktif seminggu yang lalu.

Berbanding tempoh 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 13.9 peratus daripada 65,318 kes.

Kementerian Kesihatan tengah malam tadi mengeluarkan butiran lanjut mengenai kes baru Covid-19 semalam.

Daripada 4,262 kes baru semalam, sebanyak 125 daripadanya dikesan daripada kluster Covid-19 sedia ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 88 (70.4 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 19 (15.2 peratus) adalah daripada institusi pendidikan.

Baki kes dikesan daripada kluster berkaitan jangkitan komuniti (15 - 12 peratus), import (2 - 1.6 peratus) dan kumpulan berisiko tinggi seperti pusat jagaan warga emas (1 - 0.8 peratus).