Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kita semua sudah tahu, Umno akan kembali jadi kerajaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Masalah negara kita ketika ini ialah ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat. Ini termasuk isu kesihatan, kos sara hidup, kebajikan dan peluang pekerjaan. Namun di atas masalah-masalah utama ini, masalah di belakang yang menghambat isu-isu rakyat ialah politik.

Hakikatnya, jika kerajaan hari ini dipanggil kerajaan Perikatan Nasional (PN), kerajaan PN tidak boleh bergantung harap kepada sokongan Umno/BN untuk kekal stabil.

Begitu juga jika kerajaan hari ini adalah kerajaan BN, mereka juga tidak boleh bergantung dengan sokongan PN kerana kedua-dua blok politik ini mempunyai jumlah sokongan (kerusi parlimen) yang tidak mencukupi dan masing-masing mempunyai agenda politik yang berbeza.

Kedudukan mana-mana kerajaan seperti ini, akan mudah tergugat apabila ada gerakan politik untuk mencapai agenda politik masing-masing. Perbezaan agenda politik inilah yang menjadi masalah kepada kerajaan untuk berfungsi secara efektif untuk menangani masalah rakyat dan negara.

Setakat hari ini, kerajaan yang ada masih kekal kerana salah satu blok politik belum mahu menekan ‘satu butang’. Keadaan ini tidak akan kekal lama. Justeru, masa depan rakyat menjadi pertaruhan dan ia juga memberi kesan kepada keyakinan para pelabur.

Mengaku atau tidak, PN takkan mampu berkongsi kuasa dengan BN. Begitulah yang berlaku pada pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini.

Pendirian saya sangat jelas iaitu menolak Umno-BN menjadi kerajaan. Namun cabaran untuk mengembalikan Umno-BN sebagai pembangkang menjadi persoalan rumit kumpulan pembangkang termasuk kumpulan yang ada dalam kerajaan PN.

Landskap politik hari ini, masih tidak memihak kepada PH mahupun PN kerana kekuatan BN masih ada pada Umno dan kekuatan akar umbi Umno pula masih belum tercabut walaupun telah tewas mengejut pada PRU 2018.

Semua sudah tahu bahawa PH, PN mahupun Warisan, Muda dan Pejuang tidak akan mampu menumbangkan Umno-BN jika bersaing secara berasingan.

Semua juga sudah tahu bahawa parti-parti pembangkang takkan mampu berpakat untuk menentang Umno-BN.

Semua pihak juga sudah tahu sangat, apa yang menghalang daripada pembangkang untuk berpakat. Masalahnya calon PM. Itu sahaja.

Bukan sebab prinsip, bukan sebab idealisme dan bukan sebab rakyat. Tapi sebab semua nak letak calon PM masing-masing.

Inilah tragedi politik Malaysia hari ini. Pembangkang akan terus berstrategi seolah-olah mempunyai formula tersendiri untuk tidak berpakat dan menang PRU secara solo.

Namun kita sudah tahu, selagi tidak berpakat, Umno BN akan kembali menjadi kerajaan, malah lebih kuat lagi.


MAHDZIR IBRAHIM, seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.