Pemilihan Umno sebelum PRU15? Jangan langkah bendul, kata Isham
Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil menyarankan supaya “pemimpin Umno pro-Bersatu” tidak bersikap langkah bendul dengan menggesa supaya pemilihan Umno diadakan sebelum pilihan raya umum ke-15.
Dia berkata amalan yang dilakukan dalam Umno sebelum ini adalah mengadakan PRU terlebih dahulu sekiranya jarak antara pemilihan parti dan PRU masih tidak jauh.
Tetapi sekiranya PRU jatuh pada 2023, maka menurutnya pemilihan Umno perlu dilakukan dahulu pada November 2022, iaitu enam atau tujuh bulan sebelum PRU diadakan.
“Langkah bendul yang tidak mengikut tertib ini akan merugikan kita kerana jika kita buat pemilihan Umno dahulu sebelum pilihan raya, akan ada keretakan dan perpecahan yang tidak akan sempat sembuh sebelum pilihan raya.
“Ini akan memberi kesan negatif kepada kesiapsiagaan kita untuk menghadapi pilihan raya umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata pemilihan Umno bagi penggal 2021/2023 mungkin diadakan pada November 2022.
Bagaimanapun katanya, ia perlu diadakan sebelum tamat tempoh semasa iaitu pada Disember tahun depan.
Mengulas lanjut mengenai pilihan raya umum, Isham berkata ia boleh dilakukan apabila Undi 18 berkua tkuasa dan sebelum pemilihan Umno pada November tahun depan.
Sambil memberikan cadangan-cadangan melakukan pilihan raya ketika berdepan dengan wabak, Isham berkata kerajaan tidak usah lagi menggunakan alasan mengekang daripada wabak untuk menangguhkan pilihan raya.
“Pokoknya, usahlah berselindung di sebalik wabak untuk menangguh-nangguh pilihan raya.
“Dan mengapa pula pilihan raya tidak boleh dibuat awal tetapi pemilihan Umno mahu disegerakan pula?” soalnya dengan membandingkan kebenaran mengadakan PRN di Melaka dan Sarawak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai