Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun PKR mahu 'ajar' exco PAS Perak cara turunkan harga barang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad mencabar exco kerajaan negeri Perak, Razman Zakaria supaya berdebat berhubung isu kenaikan harga barangan.

Jelasnya, surat cabaran debat telah dihantar ke pejabat Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan hari ini.

"Saya kesal jawapan tak bertanggungjawab Razman. Oleh kita telah hantar surat jemputan debat isu kenaikan harga barang, sudah ada cop akuan terima pejabat exco.

"Saya mencabar YB Razman selaku exco berdebat secara terbuka dengan saya berkenaan harga barang.

"Dalam debat nanti saya nak bagi cadangan atau kaedah yang perlu diambil exco tentang kaedah penurunan harga barang," katanya dalam sidang di DUN Perak, hari ini.

Pada 14 Dis lalu, Muhamad Arafat membuat kelainan dengan membawa ayam segar ketika berbahas berkaitan harga barang keperluan asas di DUN Perak

Dia memegang dan menunjukkan ayam itu kepada wakil rakyat lain kerana tidak puas hati dengan kenaikan harga barang.

Dalam pada itu, Muhamad Arafat berkata dia menyerahkan kepada Razman untuk menentukan tarikh, masa dan lokasi bagi debat berkenaan.

Semalam, Arafat diarahkan keluar persidangan DUN Perak susulan enggan duduk dan terus berucap kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan sewaktu sesi penggulungan.