Prosiding hibrid tak beri kelebihan pada kami, kata peguam Najib
Pasukan peguam Najib Razak mendakwa prosiding di mahkamah secara hibrid pada 7 Dis lalu semasa pendengaran permohonan pihak pembelaan untuk mengemukakan bukti baru dalam kes SRC International berlaku di padang yang tidak rata.
Peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah berkata, prosiding itu menyaksikan timbalan pendakwa raya hadir secara fizikal di mahkamah, manakala peguam Najib perlu hadir melalui aplikasi Zoom.
Ini, katanya memberikan kelebihan kepada pihak pendakwaan berbanding pasukannya terutama ketika membentangkan kes mereka di mahkamah.
"Rakan-rakan saya dari pihak pendakwaan, mereka hadir di mahkamah, di mana mereka mempunyai kelebihan penuh. Mereka boleh dengar hakim dengan jelas, manakala kami hanya hadir melalui Zoom.
"Mereka mempunyai kelebihan, manakala kami berada dalam kekurangan," kata Shafee kepada pemberita semasa sidang media dalam talianhari ini.
Prosiding pada 7 Dis itu diadakan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang mendengar permohonan Najib untuk memasukkan bukti baru dalam perbicaraan SRC International.
Bagaimanapun, Najib dan Shafee tidak dapat menghadiri prosiding itu kerana mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.
Mereka memohon perbicaraan ditangguhkan, tetapi mahkamah menolak permohonan tersebut dan mengarahkan mereka hadir melalui persidangan video dalam talian.
Mahkamah rayuan kemudiannya membuat keputusan untuk menolak permohonan berkenaan.
Mahkamah yang sama pada keesokan harinya mengumumkan keputusannya dalam kes rayuan Najib, apabila mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan jenayah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Shafee mendakwa pasukannya berdepan kesukaran untuk mendengar suara beberapa hakim dan pihak pendakwaan, serta terpaksa akur dengan apa sahaja yang mereka ada ketika menghujahkan kes itu.
Selain itu, pihak pendakwaan juga mempunyai kelebihan penuh untuk menggunakan elemen manusia sedangkan pihak pembelaan tidak boleh berbuat demikian, tambahnya.
Shafee berkata mereka sedang merayu keputusan untuk mengemukakan bukti baru itu kepada Mahkamah Persekutuan dan akan memasukkan dakwaan keadaan yang tidak adil itu sebagai sebahagian daripada hujah mereka.
"Kami pasti akan bawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan sebagai sebahagian daripada hujah. Antara sebabnya memaksa kami melakukan (perbicaraan) hibrid adalah tidak adil.
“Pada asasnya, apa yang saya katakan, apabila kita melakukan (sesi) hibrid, kita dihalang daripada memanfaatkan elemen manusia, manakala lawan kita mempunyai kelebihan penuh.
"Di manakah kepentingan keadilan apabila anda memaksa perbicaraan hibrid?" katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai