Skip to main
Logo Malaysiakini

Giliran Puteri Umno pula mahu pemilihan parti lepas PRU

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas Pemuda Umno, satu lagi sayap parti itu, iaitu Puteri Umno mengemukakan usul supaya pemilihan kepimpinan Umno ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi kestabilan parti bagi menghadapi pilihan raya.

Setiausaha Puteri Umno Malaysia, Asuma Beevi Mohamed Sali, berkata majoriti 171 bahagian menyokong usul penangguhan pemilihan berkenaan.

Katanya, keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Perwakilan Puteri Umno yang berlangsung pada 11 dan 12 Dis lalu.

"171 bahagian bertegas mahukan jentera parti dipimpin dan difokuskan ke arah gerak kerja memenangi pilhan raya umum ke-15 sebagai agenda utama parti dan hanya mengadakan pemilihan parti selepas PRU15.

"Ini bagi memastikan seluruh jentera dan kepimpinan parti memberi fokus 100 peratus kepada agenda membela rakyat dan menjadi suara rakyat menjelang PRU15 nanti.

"Ketidakstabilan parti menuju ke PRU15 selepas pemilihan akan memberi impak negatif jangka panjang kepada parti dan rakyat khususnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 176 bahagian pemuda Umno menggesa supaya pemilihan parti diadakan selepas PRU15 bagi memastikan kestabilan parti terpelihara.

Menurut setiausaha pergerakan Pemuda Umno, Hasmuni Hassan, ia adalah antara usul utama daripada keputusan mesyuarat perwakilan pergerakan Pemuda Umno bahagian yang berlangsung pada bulan ini.

“Ini bagi memastikan kerukunan serta kestabilan parti terpelihara dan dapat memberikan ruang kepada kepimpinan parti untuk fokus terhadap agenda membantu rakyat sebelum memulangkan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baharu.

“Kedua, hampir keseluruhan usul yang diterima daripada pergerakan pemuda Umno bahagian-bahagian yang telah bersidang, mengusulkan supaya Umno dan BN mengetengahkan lebih ramai calon muka baru dan calon anak muda dalam menghadapi PRU15 yang akan datang.

“Ini juga susulan aspirasi dan keputusan kepimpinan yang meletakkan 87 peratus muka baharu pada PRN Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asuma Beevi berkata, usul berkenaan akan diperhalusi dan dibahas di persidangan agung Umno bagi mendapatkan mandat perwakilan seterusnya dimuktamadkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

"Selain agresif bersiap-siaga menunggu gendang perang dipalu, harapan para perwakilan Puteri Umno seluruh negara adalah agar suara anak muda diangkat dan terus diperkasakan demi kelangsungan parti keramat ini," katanya.