Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Dan dari Umno dia datang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Selepas era politik 1969, DAP terus hidup berseorangan seperti mana PAS yang turut hidup bersendirian. Walaupun PAS bersekongkol sekejap dengan Umno melalui BN pada 1974-1977, itulah keadaan pembangkang di Malaysia sepanjang era Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn, serta awal zaman Dr Mahathir Mohamad.

Era bahagia Umno di bawah pimpinan Mahathir bagaimanapun berakhir apabila dia bertelingkah dengan timbalannya, Musa Hitam, dan bertarung dengan pencabarnya Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987.

Pada 1990 wujudlah pakatan pembangkang pertama sejak dekad 1960-an. Sebelum itu kali terakhir berlaku pakatan pembangkang ialah Socialist Front (Barisan Sosialis) yang menggabungkan Parti Rakyat Malaya dengan Parti Buruh Malaya).

Bagaimanapun pakatan 1990 itu terpaksa dipecah dua kerana DAP dan PAS sama-sama takut dengan sentimen penyokong masing-masing.

Satu parti memperjuangkan demokrasi sekular manakala satu lagi mahukan negara agama. Keadaan itu kemudian memberi kelebihan kepada Umno.

Untuk mengatasi masalah itu, kedua-dua gabungan itu – yang demokrasi sekularnya dinamakan Gagasan Rakyat, manakala yang agama politiknya digelar Angkatan Perpaduan Ummah – diterajui Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh yang asalnya Umno.

Dari situlah bermulanya sebuah kisah semua gabungan pembangkang sentiasa diketuai oleh bekas pemimpin Umno.

Dari situ juga - selepas dua tahun bekerja - bermula kerjaya saya sebagai wartawan yang membuat liputan politik negara di sebuah syarikat media yang kesemuanya menyokong kerajaan Umno-BN, atau dalam istilah mereka sendiri: “kerajaan semasa” (government of the day).

Selepas gagal dalam pilihan raya umum (PRU) 1990 dan 1995, pembangkang kembali berpecah dan bermain di kubu masing-masing saja. Sehinggalah pada 1998, apabila Mahathir bergaduh pula dengan bakal penggantinya untuk memimpin Umno, iaitu Anwar Ibrahim.

Anwar bukan saja dipecat daripada parti tetapi juga dipenjarakan. Maka bangkitlah penyokongnya atas nama reformasi.

Dengan itu, selepas akhir 1998, Anwar - juga datangnya dari Umno - ke depan memimpin pembangkang (sehingga ke hari ini walaupun timbul pelbagai persoalan tentang kepimpinannya).

Era reformasi turut membuka jalan kepada satu gabungan pembangkang apabila DAP dan PAS akhirnya boleh duduk semeja. Namun, tiada perubahan berlaku. Pembangkang tewas dalam PRU 1999 dan kalah teruk dalam PRU 2004.

Hanya pada PRU 2008 dan 2013 rakyat mula memberi kepercayaan kepada pembangkang kerana bosan serta marah kepada kepimpinan Umno.

Namun, PAS yang tidak selesa dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) yang ditubuhkan selepas PRU 2008 - kerana gagal menjadi abang besar - bertindak keluar daripada gabungan itu pada 2015 untuk kembali ke dalam pelukan Umno.

Keadaan itu menggugat kedudukan pembangkang yang pada mulanya dilihat semakin kukuh selepas PRU 2013. Sepanjang 2015, pemerhati politik meramalkan berakhirnya era Pakatan tanpa PAS, dan kembalinya pengaruh Umno.

Namun, pada akhir 2016 sebuah parti bernama Bersatu ditubuhkan oleh - seorang lagi - bekas pemimpin Umno iaitu Muhyiddin Yassin yang dipecat kerana mempersoalkan presidennya, Najib Razak, tentang skandal mega 1MDB.

Pada masa itu, sesiapa sahaja yang berani membangkitkan isu tersebut, bererti gelaplah masa depan mereka.

Dari Bersatu itu jugalah datangnya kembali Mahathir, bekas wira Umno, untuk memimpin pembangkang. Malah kehadirannya bersama Anwar yang masih berada dalam penjara dan Lim Kit Siang berjaya mencipta imaginasi positif dalam kalangan rakyat, khususnya pengundi bukan Melayu dan pengundi pelbagai kaum di kawasan bandar.

Walaupun mindanya masih dengan cara Umno pimpinannya selama 22 tahun, Mahathir berjaya membantu pembangkang menjadi kerajaan walaupun hanya untuk 22 bulan.

Namun prestasinya sebagai perdana menteri untuk kali kedua agak mengecewakan.

Kerajaan Pakatan Harapan tumbang kerana kelemahan Mahathir (malah ada yang menuduh beliau sendiri terlibat dalam komplot awal) yang menyebabkan kerajaan dikhianati oleh Muhyiddin dan Azmin Ali, bekas sahabat baik Anwar.

Sekali lagi perlu disebutkan, mereka itu kesemuanya bekas Umno.

Kerajaan yang merampas kuasa itu diberi nama Perikatan Nasional dan Muhyiddin menjadi perdana menterinya.

Dalam keadaan yang sedikit mengelirukan, kerajaan itu turut dianggotai Umno melalui Muafakat Nasional bersama PAS walaupun PAS lebih cenderung bersama Muhyiddin dan Bersatu.

Namun, usia kerajaan itu tidak lama kerana Muhyiddin pula dipaksa turun selepas 17 bulan menjadi perdana menteri.

Kerajaan asalnya masih kekal tanpa sebarang nama khas. Hari ini ia dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob yang masih kekal menjadi ahli Umno walaupun dia dilihat lebih rapat dengan Muhyiddin berbanding tokoh seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Najib, serta Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Tahniah jika anda sedar bahawa setiap perenggan yang saya tulis di atas mempunyai kata atau istilah “Umno” kerana ia memang disengajakan. Sejak lebih 30 tahun lalu, terserlah bahawa semua pemimpin gabungan kerajaan dan gabungan pembangkang datangnya dari rahim Umno.

Untuk beberapa perenggan terakhir ini, saya tidak lagi akan menyebut Umno (maaf, ter-sebut juga nampaknya), cuma ingin menamatkan catatan dengan sedikit pemerhatian terhadap PAS dan DAP.

PAS dan DAP yang dahulunya bergerak bersendirian, kini hanya mengekori gabungan masing-masing dari belakang. PAS dan DAP yang dahulunya boleh bertanding seberapa banyak kerusi yang mereka mahu, kini terpaksa belajar berkongsi, berkompromi dan bertolak ansur.

Dulu hanya pimpinan BN gemar dengan istilah “pragmatik” kini ia menjadi sebutan dan amalan popular semua pemimpin dan ahli-ahli parti yang teringin menjadi pemimpin politik.

Begitulah adanya.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.