Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga emas Satok semangat keluar mengundi hingga tak cukup kerusi roda

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN SARAWAK | Warga emas di Pusat Mengundi Kompleks Sukan Satok begitu komited untuk mengundi sehingga petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kekurangan kerusi roda.

Dengan hanya enam kerusi roda disediakan untuk setiap pusat mengundi, ada yang dibiarkan menunggu dalam barisan untuk giliran menggunakan kerusi roda.

Kakitangan SPR dan anggota Rela kelihatan membantu warga emas menaiki kerusi roda.

Calon GPS-PBB Ibrahim Baki dilihat di pintu masuk pusat mengundi dan kemudiannya petugas parti GPS menyumbang empat kerusi roda tambahan untuk menjadikan jumlah keseluruhan 10 kerusi roda.

Ibrahim Baki menegaskan kerusi roda tambahan itu bukan daripadanya.

 

Satok merupakan kawasan majoriti Melayu bandar di Kuching yang diwakili selama 40 tahun oleh Ketua Menteri Abang Johari Openg yang memutuskan untuk berpindah ke Gedong untuk pilihan raya kali ini.

Pegawai SPR Mustapaha Rajali berkata jumlah enam kerusi roda adalah jumlah lazim.

“Kami tidak sangka begitu ramai warga emas datang mengundi hari ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Salah seorang pengundi, Awang Bolia Hussaini berkata dia tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi.

 

"Saya bangun dan sembahyang sebelum datang mengundi. Saya berasa gembira," kata pesara pegawai polis itu yang berkata walaupun dia bimbang tentang Covid-19, dia masih mahu keluar mengundi.

Hajijah Ibrahim, 86 pula, yang merupakan anak jati Satok berkata dia suka keluar mengundi.

"Saya suka berbuat demikian, walaupun saya tidak boleh berjalan lagi," katanya.

Suaminya Bujang Ayub, 88, berkata, dia mengalami sakit lutut tetapi ia tidak menghalangnya hadir menjalankan tanggungjawab.

"Saya sentiasa mengundi. Adalah penting untuk melaksanakan hak kami. Dan saya seronok melakukannya," katanya.