Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mana langkah proaktif?' - Muda bidas tindak balas perlahan hadapi banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempersoalkan tiadanya langkah mendesak yang diambil pihak berkuasa terhadap bencana banjir yang kini melanda banyak negeri.

Ketua Biro Perubahan Iklim dan Kelestarian Muda Afiqah Zulkifli berkata, musim tengkujuh berlaku setiap tahun tetapi seperti tindak balas terhadapnya tetap perlahan.

Afiqah berkata, pengurusan bencana banjir perlu melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan.

"Dengan kekerapan dan skala banjir yang semakin meningkat, apakah langkah mendesak dan proaktif yang telah diambil di setiap peringkat kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan pusat?

"Sehingga kini, kerugian demi kerugian perlu ditanggung oleh rakyat - kerosakan harta benda, kerugian dalam perniagaan, kerugian dalam pertanian - ini semua perlu ditanggung secara individu dek kerana tiada jaminan dan bantuan penuh kerugian kepada mangsa bencana," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan banjir melanda banyak kawasan Selangor, dengan Klang menjadi antara daerah yang paling teruk terjejas.

Selain Selangor, negeri lain yang terjejas adalah Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan terkini Perak.

Menurut Bernama, Lebih 14,000 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,189 orang pagi ini.

Afiqah berkata lagi, perlu ada inisiatif mitigasi dan adaptasi terhadap bencana banjir yang pantas, diarusperdanakan dan diutamakan di semua peringkat kerajaan dan pelan pembangunan.

"Muda menyeru agar pengurusan data risiko dan kecemasan dari pelbagai pihak dapat dipusatkan secara rasmi bagi tujuan analisis dan pelan strategi yang lebih terperinci.

"Muda menyeru agar maklumat mengenai jangkaan bencana, sistem amaran awal, komunikasi risiko dan kecemasan dipertingkatkan, supaya orang awam sentiasa dimaklumkan mengenai keadaan terkini mangsa dan kawasan bencana," katanya lagi.