Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin: Negara tak perlukan Singapura untuk projek HSR

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia tidak memerlukan Singapura untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), menurut bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata projek itu - yang pada asalnya untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura - boleh menghubungkan selatan dengan utara semenanjung, ke arah Thailand.

Ia selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membangkitkan untuk merundingkan semula projek itu ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akhir bulan lalu.

"Kita tidak perlu menunggu pihak Singapura untuk terlibat semula dalam projek ini.

"Sebuah konsortium swasta boleh diwujudkan untuk membina projek ini dari selatan ke utara tanah air dengan pembiayaan pihak swasta sepenuhnya, termasuk menanggung kos pengambilan tanah.

"Dengan prospek penyambungan HSR dengan jaringan landasan keretapi laju yang menghubungkan Thailand, Indochina dan China, saya percaya ramai pihak yang akan berminat untuk menyertai projek ini," kata presiden Bersatu itu ketika ketika berucap dalam perhimpunan agung tahunan parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dibatalkan ketika Muhyiddin memegang jawatan perdana menteri, dengan Malaysia membayar pampasan sebanyak RM320 juta kepada republik itu.

Lindung kedaulatan negara

Muhyiddin berkata, keputusannya untuk membatalkan perjanjian HSR dengan Singapura adalah kerana dia mendapati perjanjian itu - yang ditandatangani ketika pentadbiran BN - mempunyai terma berat sebelah yang boleh mencabuli kedaulatan negara.

Ia termasuk kawalan Singapura terhadap Assetsco iaitu pihak yang mengendalikan operasi HSR di Malaysia.

"Dengan pembatalan perjanjian HSR dengan Singapura, kita telah mengembalikan semula kedaulatan negara kita

"Tanpa penglibatan Singapura, kita mempunyai kawalan sepenuhnya dalam pelaksanaan projek infrastruktur strategik negara ini dan kita boleh buat keputusan yang melindungi kepentingan negara kita tanpa campur tangan pihak asing," katanya.

Pada 4 Januari lalu, dilaporkan usaha negara untuk menghapuskan AssetsCo, yang memerlukan ia ditender secara bersama dengan Singapura, menjadi punca utama projek itu dibatalkan.

Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung memberitahu parlimen negara itu bahawa isu itu menjadi perhatian mereka kerana syarikat tersebut akan berperanan memastikan kebertanggungjawaban kedua-dua negara.

Perbandingan DNB-1MDB

Dalam isu berlainan, Muhyiddin turut mempertahankan Digital Nasional Berhad (DNB) yang dibandingkan sesetengah pihak dengan 1MDB.

Menurutnya, syarikat telekomunikasi mempunyai keutamaan yang berbeza dan tidak berminat untuk menyediakan rangkaian 5G di kawasan yang memiliki jumlah penduduk yang rendah.

Justeru, katanya lagi, kerajaan membuat keputusan untuk menubuhkan DNB bagi mempercepat pelaksanaan 5g diseluruh negara.

"Jadi, janganlah ada pihak yang sengaja ingin melambatkan pelaksanaan roll out 5G untuk kepentingan tertentu dengan mempolitikkan isu DNB.

"Saya berasa cukup hairan pihak yang mempertahankan skandal 1MDB sekarang ingin menyamakan DNB dengan 1MDB.

"Tolonglah, jangan perlekeh kebijaksanaan rakyat," katanya lagi.

Muhyiddin berkata 1MDB adalah "skim penipuan terbesar dalam sejarah dunia" melibatkan syarikat luar pesisir yang diragui, manakala DNB mempunyai struktur tadbir urus yang jelas, diuruskan kalangan profesional dengan pembinaan projek infrastruktur oleh syarikat berwibawa.

"Perdana menteri tidak menjadi penasihat yang berkuasa besar dalam DNB," katanya lagi.