Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan Anwar umum letak jawatan berita palsu - PKR

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR menafikan penyebaran surat palsu yang kononnya daripada setiausaha agung parti Saifuddin Nasution mengumumkan Presidennya Anwar Ibrahim meletak jawatan.

Saifuddin ketika dihubungi Malaysiakini mengutuk penyebaran surat di media sosial itu dan mendakwa ia kerja "golongan terdesak yang bertujuan melemahkan PKR."

"Saya menggesa seluruh anggota PKR bertenang dan mengambil maklumat sahih hanya dari sumber parti

Saya juga menyeru rakyat seluruhnya menolak politik kotor dan adu domba

"PKR akan terus bergerak sebagai parti politik pelbagai kaum untuk membela kehidupan rakyat di atas landasan keadilan," katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam Komunikasi Whatsapp rasmi parti mengesahkan penyebaran surat palsu berkenaan.

Surat palsu itu menggunakan kepala dan logo parti untuk menyatakan bahawa Anwar berundur sebagai presiden parti untuk bertanggungjawab terhadap prestasi buruk PKR dalam pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak.

Ia juga mendakwa Anwar turut melepaskan jawatan sebagai ketua gabungan Pakatan Harapan.

Surat palsu itu juga menyebut Anwar digantikan oleh anak perempuannya Nurul Izzah Anwar sebagai presiden parti dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai pengerusi PH.