Skip to main
Logo Malaysiakini

Mangsa banjir di Hulu Langat desak bantuan segera

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mangsa banjir di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat mendesak bantuan segera dihulurkan kepada penduduk di kawasan itu memandangkan ramai yang masih terkesan dengan situasi banjir walaupun paras air semakin surut.

Tinjauan Bernama di lokasi banjir Taman Sri Nanding di sini mendapati paras air semakin surut namun rata-rata mangsa yang ditemui berharap pihak berkuasa dapat membantu mengurangkan beban mereka yang telah kehilangan hampir kesemua harta susulan bencana alam itu sejak semalam.

Seorang mangsa banjir, Faizal Hasaan, 49, berkata tiada sebarang bantuan yang dihulurkan malam semalam menyebabkan mereka seharian tidak menjamah makanan.

“Keadaan rumah pula sudah ditenggelami air, macam mana kami mahu masak,” katanya kepada wartawan Bernama di lokasi banjir hari ini.

Beliau juga berkata ini merupakan banjir paling teruk pernah dialami di kawasan Taman Sri Nanding yang merupakan tempat kelahirannya.

Zakiyuddin Mohd Khalid, 24, pula berkata paras air yang naik mendadak menyebabkan beliau tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk peti sejuk, mesin basuh dan kereta.

"Saya tak sempat nak selamatkan barang-barang saya dari rumah, yang sempat ambil ialah nyawa. Saya sangat mengharapkan pihak berkuasa atau badan bukan kerajaan (NGO) dapat turun padang membantu kami yang kehilangan tempat tinggal," katanya.

Seorang warga emas, Abdul Rafar, 69, berkata beliau merupakan pesakit hemodialisis dan memerlukan rawatan yang betul mengikut waktu.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada sebarang bantuan diterima daripada mana-mana pihak ketika rumahnya hampir tenggelam.

"Saya tidak makan dari semalam sejak rumah saya masuk air. Saya harap ada pihak berkuasa akan membantu tetapi tiada seorang pun datang tolong saya," katanya.

- Bernama