Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir: Kesatuan Mahasiswa UM gesa universiti beri tempoh bertenang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) kecewa dengan sikap pentadbiran institusi pengajian awam itu dan Kementerian Pengajian Tinggi yang didakwa tidak mengambil inisiatif terhadap mahasiswa yang terkesan dengan banjir.

Setiausaha KMUM Najwa Mohd Zin berkata pihaknya menggesa pihak pentadbiran universiti supaya melaksanakan tempoh bertenang selama seminggu dengan serta-merta.

Katanya, langkah itu bertujuan supaya mahasiswa yang terkesan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pasca banjir.

“Pihak Kesatuan ingin meluahkan kekecewaan terhadap pihak KPT serta pihak pengurusan universiti kerana tiada inisiatif yang telah dilakukan dan diambil oleh mereka untuk mahasiswa universiti dalam keadaan yang mencabar ini.

“Tempoh bertenang ini penting kepada mereka yang terjejas kerana mereka mengalami masalah seperti ketiadaan bekalan elektrik, memerlukan waktu bagi melakukan pembersihan kawasan tempat tinggal yang terjejas, bahan pembelajaran dan peranti elektronik yang rosak dan sebagainya.

“Mereka tidak dapat menjalankan sebarang aktiviti pengajaran dan pembelajaran selepas mengalami musibah ini,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Hujan yang berlarutan selama dua hari sejak Jumaat lalu di beberapa negeri termasuk di Selangor, terutamanya di Shah Alam dan Klang menyaksikan situasi banjir di banyak tempat, sehingga menyebabkan beribu penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Malah, mereka yang terkandas dalam banjir terpaksa menunggu berjam-jam sehingga air kembali surut ke paras yang selamat.

Mengulas lanjut tempoh bertenang itu, Najwa berkata pihak universiti sewajarnya mengambil teladan tindakan Universiti Utara Malaysia yang memberikan tempoh bertenang kepada semua pelajar dan kakitangan universiti.

“Justeru, pihak KMUM menuntut pihak pengurusan universiti untuk mengisytiharkan 20-26 Disember sebagai tempoh bertenang.

“Dalam tempoh ini, sebarang aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu diberhentikan atau dilakukan dalam skala minimum sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, katanya KMUM berpendapat masa yang telah digunakan untuk tempoh bertenang itu boleh digantikan semula.

Selain itu, KMUM turut mencadangkan tiga penyelesaian alternatif untuk menggantikan masa yang digunakan sebagai tempoh bertenang yang dikemukakan.

Memmbatalkan minggu ulang kaji (seperti UUM), memendekkan cuti semester 1 selama satu minggu atau memendekkan cuti semester dua selama satu minggu, saran kesatuan mahasiswa itu.

“Wakil fakulti KMUM telah pun melaksanakan tinjauan dan telah menerima maklum balas daripada pelajar UM dan perkara ini telah mendapat sokongan sepenuhnya oleh kebanyakan pelajar UM,” katanya.