Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan sumbang RM100,000 kepada Selangor dan Pahang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Kelantan menyalurkan sumbangan solidariti bencana banjir masing-masing berjumlah RM100,000 kepada Selangor dan Pahang.

Menteri besarnya Ahmad Yakob berkata, sumbangan itu sebagai tanda solidariti dan kebersamaan melalui sumbangan Tabung Serambi Mekah.

"Semoga usaha-usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT. bagi melancarkan operasi pemindahan dan operasi pemulihan pasca banjir," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad juga merakamkan ucapan takziah kepada mangsa banjir yang berlaku di negeri Selangor dan Pahang yang menyebabkan kehilangan tempat berteduh dan kemusnahan harta benda.

Terdahulu Selangor khususnya di Shah Alam dan Klang antara kawasan yang teruk terjejas akibat banjir sejak kelmarin.

Di negeri itu menurut aplikasi InfoBencana JKM negeri, setakat lapan pagi ini seramai 11,418 orang daripada 4,267 keluarga telah dipindahkan ke 74 PPS di kesemua daerah.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan sebanyak 73 jalan ditutup melibatkan sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), susulan banjir yang masih belum surut setakat 4 pagi tadi.

Sementara itu di Pahang jumlah mangsa banjir terus meningkat pagi ini kepada 25,669 orang di 239 PPS berbanding 19,344 orang di 214 PPS malam tadi.

Daerah yang dilanda banjir masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Pulau Pinang gerakkan aset

Sementara itu, Pulau Pinang juga telah mula menggerakkan sejumlah aset bagi misi bantuan bencana banjir ke negeri Selangor.

Chow Kon Yeow

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata selain pihak berkuasa tempatan (PBT), turut terlibat adalah pelbagai pasukan sukarelawan serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri itu.

“Kita cuba yang terbaik bagi membantu dari semasa ke semasa, dan akan terus berhubung serta mendapatkan laporan terkini daripada kerajaan Negeri Selangor,” katanya seperti dilaporkan media rasmi kerajaan negeri.