Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelab Rela WP sumbang RM25,000 kepada mangsa banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kelab Rela Kehormat dan Bersekutu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini menyampaikan bantuan banjir sebanyak RM25,000 kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor dan di kawasan Kuala Lumpur.

Menurut setiausaha agungnya Che Hassan Che Johan, antara barang-barang yang disumbangkan merupakan air mineral, biskut dan pelitup muka.

Sumbangan tersebut diberikan kepada sekitar 300 penduduk yang terlibat dalam insiden banjir yang melanda negara, khususnya di Lembah Klang baru-baru ini.

“Pihak kelab sentiasa sedia memberi bantuan sekiranya diperlukan, apatah lagi sejak pandemik Covid-19 bermula sejak dua tahun yang lalu, kelab Rela bukan hanya beri bantuan tertentu tetapi di atas dasar perikemanusiaan termasuk kepada keluarga anggota Rela yang ditimpa musibah kemalangan atau jangkitan virus Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Hassan berkata, esok, pasukannya akan menggerakkan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor yang turut antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kilat berlarutan pada Jumaat lalu.

Hujan yang berlarutan selama dua hari sejak Jumaat lalu di beberapa negeri termasuk di Selangor, terutamanya di Shah Alam dan Klang menyaksikan situasi banjir di banyak tempat, sehingga menyebabkan beribu penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat malam tadi, bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS mencatatkan lebih 61,000 orang dengan Pahang dan Selangor mencatat jumlah paling tinggi.