Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu pintu air Sri Muda 'rosak' selesai, banjir akan surut cepat - MB Selangor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri Selangor menjangkakan banjir di Sri Muda, Shah Alam akan surut dengan lebih cepat sekarang, berikutan bekalan elektrik sudah dipulihkan bagi membolehkan pintu air "tersekat" yang mengawal aliran air ke sungai berfungsi semula.

Menteri Besar Amirudin Shari dalam kemas kini ringkas keadaan pagi ini berkata sebuah lagi generator daripada Tenaga Nasional Berhad juga berjaya dibawa ke pintu air.

“Pintu air dapat beroperasi semula dengan bekalan tenaga dan generator TNB.

“Semalam MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) kerja keras sampai jam 3 pagi bagi mengalihkan kenderaan tersadai yang telah menghalang generator daripada dibawa ke pintu air.

“Dengan pintu air beroperasi proses penyurutan akan lebih pantas, Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Adalah dilaporkan semalam bahawa paras banjir di Taman Sri Muda surut pada kadar yang lebih perlahan berikutan pintu air yang "tersekat".

Taman Sri Muda adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas di Selangor, bersama Klang dan Hulu Langat, dengan kebanyakan rumah setakat pagi ini masih dipenuhi air di paras buku lali - menurun daripada paras rekod melebihi enam kaki tinggi.

Beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir selepas hujan lebat berterusan sejak Jumaat hingga awal pagi Ahad.