Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir: K’jaan Perak sedia pindah penduduk Changkat Jong, kata MB

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Perak sedia mempertimbangkan keperluan untuk memindahkan penduduk-penduduk di Kampung Batu 7 ½ Changkat Jong, Hilir Perak ekoran sering terdedah dengan kejadian banjir saban tahun.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya akan berbincang dengan pejabat daerah untuk mengenal pasti kawasan bersesuaian bagi penempatan baharu penduduk berkenaan.

“Kerajaan negeri akan mengambil iktibar dan akan berbincang dengan pejabat daerah. Kalau banjir kerap sehingga mengakibatkan kerugian harta benda berjuta ringgit setiap tahun, kerajaan boleh pertimbangkan untuk memindahkan mereka.

“Kalau hendak pindah mereka kita mesti ada tapak dan kita pindah mereka ke tempat yang perlu ada kemudahan untuk mencari makan (rezeki),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pekebun Kecil Risda Lengong Bhd ke-37 di Dewan Kemas di Lenggong hari ini.

Saarani berkata kerajaan negeri juga sebelum ini pernah memindahkan keluarga atau individu dari 20 rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Labit, Lenggong di tepi Sungai Perak ke penempatan tinggi ekoran kawasan kediaman mereka itu dilanda banjir pada 2014.

Dalam kejadian banjir di kawasan Changkat Jong di Hilir Perak, seramai 263 mangsa ditempatkan di dua pusat penempatan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak dengan 111 mangsa di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 152 lagi di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

Tinjauan Bernama sebelum ini mendapati penduduk di kampung berkenaan mengeluh kerana seringkali dilanda banjir sehingga kerap pindah ke PPS setiap tahun.

Sementara itu, Saarani meminta penduduk di kawasan Hulu Perak, Kinta, Selama dan Kerian supaya bersiap sedia susulan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai kemungkinan berlakunya angin Monson Timur Laut melanda Perak, Kedah, Pulau Pinang pada 26 Dis ini.

Katanya semua pejabat daerah diarah supaya bersiap siaga dengan aset yang mencukupi dan tidak membenarkan kakitangan bercuti bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

“Saya juga membatalkan lawatan ke ekspo di Dubai kerana saya bimbang kejadian banjir berulang,” katanya.

- Bernama