Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua termasuk kanak-kanak dikhuatiri lemas lepas redah air

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua lelaki termasuk seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika meredah air di kawasan padang bola berhampiran Bangunan Umno di Mentakab, Temerloh, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima maklumat pada 3.15 petang sebelum menggerakkan enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab ke lokasi kejadian.

"Kenyataan saksi kepada polis mendakwa terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak telah meredah air di kawasan tersebut sebelum dihanyutkan arus dan hilang. 

"Bagaimanapun setakat ini identiti mereka masih belum dikenal pasti.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa semalam menggunakan bot aluminium dan dijalankan secara surface searching atau pencarian di kawasan permukaan air di lokasi kejadian dengan radius pencarian seluas 500 meter persegi,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Ismail berkata operasi ditangguhkan pada 5.15 petang semalam dan bersambung pagi ini.

Sementara itu, operasi SAR terhadap Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dilaporkan hilang selepas terjun ke Sungai Belat, Kuantan pada Sabtu lepas, masih diteruskan dan telah meliputi jarak 20 kilometer dan kawasan sawit seluas 10 hektar.

Dalam kejadian di Raub pula, seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir semasa mandi di tebing sungai di Kampung Cheroh hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed yang mengesahkan kejadian berkata kehilangan mangsa Por Kong Ming, 79, disedari anak lelakinya pada 12.10 tengah hari, yang kemudiannya menghubungi polis.

"Siasatan awal mendapati terdapat kesan tergelincir di tebing sungai. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan oleh Balai Polis Cheroh dengan bantuan bomba," katanya ketika dihubungi.

Di Bentong, operasi SAR mangsa kelima kejadian banjir lumpur di Telemong, diperluaskan kepada tujuh kilometer radius kawasan pencarian.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang Ismail Abdul Ghani berkata operasi mencari mangsa hilang hari ini yang melibatkan 44 pegawai dan anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta tiga anjing pengesan dan 17 sukarelawan, tertumpu di dua kawasan pencarian.

“Operasi SAR diperluaskan ke kawasan menghala ke jalan Telemong dan satu lagi ke kawasan menghala ke Karak,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini empat mayat mangsa kejadian itu telah ditemukan.

- Bernama