Pakar: Di mana Nadma, MKN saat banjir Lembah Klang?
Hujan lebat mula turun di Lembah Klang pada pagi Jumaat, berterusan sepanjang hari hingga ke malam.
Tidak lama selepas hujan turun, media sosial dibanjiri rayuan memohon bantuan serta gambar dan klip video memaparkan kenaikan paras air serta kereta dan rumah yang ditenggelami bah di sesetengah kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.
Penduduk Lembah Klang nyata tidak menduga bencana itu yang disifatkan oleh kerajaan sebagai kejadian sekali dalam seabad.
Namun, jika jangkaan saintis iklim tepat, Malaysia berkemungkinan mengalami hujan yang lebih lebat dan kejadian banjir lebih banyak pada masa akan datang.
“Kita tidak boleh menyalahkan (cuaca) sebagai satu-satunya punca bencana ini. Faktor manusia merupakan penyumbang utama kejadian,” kata Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, saintis alam sekitar di Universiti Putra Malaysia.
Banjir kini telahpun surut, masyarakat mula membangkitkan tentang ketiadaan persediaan menghadapi banjir di Lembah Klang.
Sekalipun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan di Lembah Klang dan beberapa kawasan lain, tidak ada sebarang peringatan tentang banjir diberikan sehinggalah nasi sudah menjadi bubur.
Pakar meteorologi Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata perkhidmatan kaji cuaca di tiga negara telah mencerap sistem tekanan rendah yang menyebabkan hujan selama berhari-hari dan memberi amaran kepada kerajaan tentang hujan lebat berterusan yang dijangka melanda.
“Jadi, soalan saya ialah di mana Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), di mana MKN (Majlis Keselamatan Negara)?” katanya kepada Bernama, apabila diminta mengulas mengenai banjir besar yang melanda antaranya Shah Alam, Hulu Langat dan Klang di Selangor serta sebahagian kawasan di ibu negara sejak Jumaat hingga Ahad lepas.
Menurut laporan media, usaha memindahkan penduduk ada dijalankan ketika paras air mula meningkat, namun sesetengah daripada mereka enggan meninggalkan rumah masing-masing kerana bimbang dijangkiti Covid-19 di pusat pemindahan, selain ada juga yang berkeyakinan situasi tidak akan bertambah buruk.
Pakar berkata kejadian bencana itu menunjukkan bahawa, selain sistem amaran dan tindak balas yang lebih berkesan, ada keperluan untuk kerajaan mengubah dasar dalam menangani dan mengurangkan kesan perubahan iklim, selain meningkatkan kesedaran masyarakat umum.
KSU: 'Hujan berat sekali dalam seabad'
Sekalipun MetMalaysia telah memberi amaran lebih awal, ternyata kerajaan dan penduduk Lembah Klang tidak menduga banjir akan melanda. Ini mungkin kerana bencana itu lazimnya hanya boleh berlaku jika beberapa keadaan tertentu hadir serentak.
Pada masa sekarang, Lembah Klang yang terletak di kawasan lembangan di barat daya Semenanjung Malaysia ini jarang dilanda banjir besar seperti dahulu.
Namun, jumlah taburan hujan yang turun pada hari Jumaat itu jauh lebih tinggi berbanding taburan hujan bulanan purata sebanyak 200 mm - stesen Sentul merekodkan 363 mm - sesuatu yang disifatkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang sebagai mungkin hanya berlaku sekali dalam tempoh seabad.
Dalam pada itu, menurut Azizan yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Antartik Kebangsaan, hujan berkenaan disebabkan oleh lekukan tropika yang terbentuk akibat sistem tekanan rendah di Laut China Selatan sebelum bergerak ke Semenanjung Malaysia dan melepasi Banjaran Titiwangsa.
“Lebih-lebih lagi - memang resipi bencana - ketika itu merupakan tempoh bulan hampir mengambang, sekali gus air pasang besar melanda Klang, (paras laut) kira-kira 4.6 meter.
"Disebabkan keadaan itu, air yang sepatutnya mengalir ke laut tidak dapat ke laut.
"Pendek kata, semua ramuan untuk bencana tersedia,” jelas beliau.
Nadma, JPS gagal beri amaran awal
Pakar-pakar yang dihubungi Bernama berpandangan sistem amaran awal amat penting untuk mengelakkan kerosakan yang teruk dan kehilangan nyawa.
Untuk memastikan sistem itu berjaya, semua agensi berkaitan perlu berkomunikasi dengan lebih baik bagi memberi amaran kepada umum. Dalam bencana hujung minggu itu, Selangor sahaja mencatatkan sekurang-kurangnya 17 korban.
Azizan berkata semua agensi - Nadma, MetMalaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran gagal memberi amaran lebih awal kepada penduduk Lembah Klang sekalipun mempunyai sistem amaran banjir yang baik.
“Sistem ada, seperti di Kelantan dan pantai timur, mereka ada sistem amaran yang baik kerana banjir kerap berlaku di sana.
"Anda boleh tengok (amaran) menerusi Facebook dan lain-lain, tetapi saya tidak tahu mengapa mereka tidak berbuat demikian di Selangor,” tambahnya.
Haliza yang bersetuju dengan pandangan itu, berkata semua agensi terbabit seharusnya sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kesan yang berkemungkinan, serta berkongsi data itu dengan agensi lain agar mereka boleh memberi amaran kepada umum.
“Ini satu pengajaran yang baik kepada kita. Kita tidak boleh salahkan (cuaca) semata-mata. Pada masa akan datang, kita perlu ada sistem amaran awal banjir yang cekap kerana banjir merupakan bencana utama di negara ini,” katanya.
Beliau mengesyorkan agar kerajaan menerima guna sistem amaran Covid19 bagi memberi amaran awal bencana kepada masyarakat dengan memanfaatkan media sosial dan sistem pesanan ringkas.
Kerajaan juga katanya boleh mencontohi Jepun dalam mendepani bencana, seperti menggunakan siren untuk memberi amaran tentang kecemasan kepada orang ramai, selain menjalankan latihan kecemasan di tempat kerja dan sekolah.
Perlu bertindak pantas
Akan tetapi, amaran semata-mata tidak berguna jika tidak disertakan dengan tindakan.
Penyelidik perubahan iklim Yin Shao Loong daripada Institut Penyelidikan Khazanah, memberitahu Bernama bahawa sistem amaran awal harus disertakan dengan langkah-langkah kesiapsiagaan dan tindak balas pantas oleh Nadma.
“Beban tidak harus dilepaskan kepada orang ramai untuk menjaga kebajikan sendiri jika sumber kerajaan lembab bertindak,” katanya.
Kerajaan mengumumkan peruntukan RM100 juta dan pelbagai bantuan lain untuk mereka yang terjejas oleh bencana itu, namun pakar meragui jumlah tersebut cukup bagi menampung kerugian yang ditanggung.
Apatah lagi Malaysia sendiri hampir tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan sedemikian jika bencana terus berulang. Bank Dunia menganggarkan Malaysia kerugian sekitar US$1.3 bilion setiap tahun akibat perubahan iklim, khususnya melibatkan banjir.
Yin berkata bencana banjir yang berlaku itu menunjukkan Malaysia belum bersedia untuk menghadapi impak perubahan iklim.
“Wujud masalah sistemik di sini, bermula dari perubahan sistem semula jadi disebabkan perbuatan manusia - penebangan hutan menyebabkan banjir lebih buruk dan memberi kesan ke atas kitaran hidrologi, perubahan iklim menyebabkan cuaca lebih ekstrem - hingga ke sistem manusia seperti pembangunan bandar tidak lestari tanpa pengurusan lembangan sungai dan saliran yang baik, serta ketiadaan penyelarasan dan pengurusan bencana yang berkesan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata bagi membantu mengurangkan kejadian banjir pada masa depan, kerajaan tidak boleh lagi menangguhkan projek lencongan sungai dan saliran.
“Berbelanja untuk mencegah akan mengelakkan kita daripada menanggung beban lebih besar akibat pembiayaan pemulihan,” katanya.
Dari segi orang awam pula, Haliza berkata mereka sepatutnya lebih peka tentang cuaca buruk dan kesan yang mungkin terjadi, serta menambah kesedaran itu boleh menentukan hidup atau mati seseorang.
Katanya mereka juga perlu mengetahui tentang persiapan menghadapi bencana dengan menyediakan bekalan kecemasan sekiranya terperangkap di rumah, contohnya air minum, makanan kering, ubat-ubatan, powerbank untuk mengecas telefon bimbit, atau, sekiranya perlu berpindah, simpan dokumen penting di dalam beg kalis air, telefon bimbit berserta powerbank, ubat-ubatan dan pakaian.
“Semua ini adalah perkara yang mesti ada untuk terus bertahan sementara menunggu ketibaan bantuan daripada agensi berkaitan, khususnya buat mereka yang mempunyai anak kecil atau orang tua,” katanya.
Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai