Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang Asli terperangkap: 'Keadaan bahaya, bekalan boleh sampai pakai heli'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiga hari lalu ketika hujan lebat turun mencurah-curah, penduduk Orang Asli Kampung Genting Peras di Hulu Langat, Selangor, Tina Esat berkata dia berada di rumah untuk berteduh dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman seakan letupan dari luar.

Terkejut dengan insiden itu, penduduk kampung keluar untuk melihat dan mendapati tanah runtuh yang teruk telah memusnahkan satu-satunya jalan menuju ke kampung mereka serta menenggelamkan empat rumah dengan lumpur dan serpihan.

Kini, kampung yang mempunyai kira-kira 300 penduduk itu kebanyakannya terputus hubungan dari dunia luar.

Mereka terpaksa berjalan kaki selama kira-kira dua hingga tiga jam untuk sampai ke penempatan berdekatan untuk mendapatkan bekalan keperluan asas.

“Kawasan kampung kami dulu tak pernah banjir, tak pernah ada tanah runtuh, tapi sejak tahun ini berlaku kejadian begini.

“Disebabkan hujan baru berhenti, kami takut untuk keluar kerana bimbang tanah runtuh akan berlaku lagi.

"Kami perlu berjalan sangat jauh dan ia amat berbahaya," kata Tina ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pada masa ini, bekalan keperluan asas tidak mencukupi kerana sukar bagi penduduk kampung untuk sampai ke kawasan bawah, katanya.

Mereka amat memerlukan keperluan asas seperti beras, minyak masak, garam, susu dan lampin untuk bayi, sabun, ubat-ubatan dan petrol.

Helikopter terlalu mahal

Tina berkata, dia telah berusaha untuk meminta bekalan keperluan asas dan bantuan hanya dapat dihantar ke kampung mereka melalui helikopter kerana percaya itu adalah cara paling selamat dan paling berkesan.

Bagaimanapun, dia telah dimaklumkan bahawa kos pengangkutan itu terlalu mahal untuk menghantar bekalan keperluan asas kepada mereka melalui helikopter.

"Jika ia terlalu mahal, apa yang akan berlaku kepada kami,” keluhnya.

Bah besar yang telah melanda beberapa negeri pada Jumaat lalu telah menjejaskan kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beribu-ribu mangsa berpindah dari rumah mereka dan situasi banjir masih belum surut sepenuhnya di banyak kawasan.