Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Belajar membuang sampah pascabencana banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PULASAN | Khabar-khabar telah tiba berterbangan
Tuan-tuan terjulang dalam kemenangan
Segala janji dalam manis kata-kata:
"Kami diturunkan untuk membela rakyat jelata."

Rupa-rupanya banyak keindahan timbul, berkembang dan mekar dari air berselut yang menenggelamkan rumah, bangunan, kenderaan serta entah apa lagi harta orang ramai pada hujung minggu lalu.

Ujian itu datangnya bukanlah tiba-tiba. Sudah ada amaran awal khabarnya, namun tidak banyak persediaan dibuat. Jika sebaliknya, mungkin kita tidak perlu melihat pelbagai peristiwa pilu dan menaikkan tekanan darah seperti sekarang.

Tetapi begitulah takdirnya. Bencana itu pun datang membawa rahmat yang banyak tanpa disangka-sangka.

Ada pasangan suami isteri bersusah payah membawa bot mereka dengan Myvi dari Tanjung Tualang di Perak ke Shah Alam, ada juga yang memandu Perodua Viva dan bergegaslah dia ke sana ke sini untuk menghulurkan bantuan ketika pihak yang sepatutnya tangkas bergerak terpinga-pinga bagai kera mendapat bunga.

Syarikat rangkaian kedai serbaneka Mydin dipecah masuk oleh orang awam, tetapi pemiliknya berjiwa besar untuk menghalalkan barang-barang yang dilarikan itu jika si pelaku benar-benar terdesak. Jika sebaliknya, individu yang berkenaan tanggung dan jawab sendirilah di kemudian hari.

Pengendali pasar raya Aeon di Shah Alam membuka premis mereka untuk dijadikan tempat berlindung sementara buat pelanggan yang terperangkap pada malam air mula naik mendadak. Barangan keperluan asas juga diberikan kepada sesiapa yang memerlukan.

Dalam keadaan begitu syarikat terbabit melakukan sesuatu yang tidak perlu, iaitu meminta maaf atas segala kekurangan yang ada dan berjanji untuk belajar daripadanya bagi memberikan khidmat yang lebih baik pada masa depan.

Acah-acah bersimpati

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor pula melebarkan fungsi mereka daripada sekadar sebuah kutubkhanah sebaliknya menjadi tempat berteduh kepada sesiapa yang memerlukan.

Entah berapa banyak lagi badan korporat yang menunjukkan ihsan terpuji dengan mengetepikan seketika pertimbangan kebendaan pada waktu yang sangat mendesak ini.

Dan di sana sini ada ribuan sukarelawan yang tidak mahu dikenali menawarkan tangan, kaki dan badan masing-masing untuk dikerah membantu sesiapa saja. Perbezaan kaum, budaya dan agama yang selama ini selalu menjadi jurang membataskan rakyat tiba-tiba lenyap.

Tahulah kita bahawa sebenarnya manusia ini boleh saja hidup dengan damai dan teduh jika tidak ada campur tangan dan hasutan orang politik.

Kemudian - ketika air semakin surut - datanglah orang kayangan terhegeh-hegeh menunjukkan wajah bersimpati dan prihatin. Hanya orang yang bebal saja percaya mereka itu hadir dengan niat yang benar. Bagi orang yang berakal pula, melihat kelibat 'kayanganian' itu pun pasti sudah dapat menghidu busuknya hati masing-masing.

Mereka tidaklah akan timbul kecuali selepas mempertimbangkan apakah laba yang dapat dicekau nanti. Antara yang penting ialah proses pencitraan diri agar mereka sentiasa dilihat prihatin dan mengambil berat akan kesusahan rakyat. Kemudian berharap akan menjadi calon dan dimenangkan lagi, dan lagi, dan lagi.

Kerana itulah biasanya kayanganian itu selalunya datang tanpa lupa bersegak-segak atau melawa!

Siapakah yang boleh lupa aksi menteri pendidikan yang melawat tempat banjir dengan berjalan di atas susunan meja di pusat penempatan sementara beberapa tahun lalu?

Kejadian itu berlaku bertahun-tahun lalu sebelum muncul pula menteri lain datang menunjukkan wajah pegun bersama kasut bertumit tinggi.

Namun kita juga tahu sebelum - atau selepas - bersedih-sedihan itu mereka boleh saja berseronok di hotel 'sembilan bintang' sambil menari-nari, misalnya. Atau memotong kek hari lahir untuk anak menantu sebagai misalan lain.

Nilai kek itu mungkin bersamaan dengan separuh daripada jumlah kerugian ditanggung seorang lelaki penjual buah-buahan yang kehilangan kelengkapan rumahnya oleh bah besar.

Sebuah jenaka sebal

Ketika hujan mencurah-curah dari atas dan air membuak-buah dari bawah mengancam nyawa orang ramai, orang politik masih tergamak terkangkang tersandar di kerusi empuk pejabatnya dengan tersenyum lebar sambil mengangkat ibu jari menunjuk tanda bagus.

Apabila ada program serahan bantuan, kadang-kadang orang politik akan bersungguh-sungguh mencari alasan untuk menyelit agar dia tetap dilihat mengambil berat nasib rakyat. Dia hadir bersama tubuhnya yang dibalut baju sutera yang nilainya lebih mahal daripada perolehan gaji sebulan seorang kerani sekolah.

Untuk berlaku adil, kadang-kadang penaja sumbangan itu sendiri mencari orang politik agar aksi mereka dapat diuar-uarkan ke seluruh dunia. Itu pun sejenis kelakuan ' yang haprak juga.

Tidak cukup dengan itu, terpacul pula watak-watak yang perasan menjadi tuhan. Mereka meletakkan hukum sesuka hati dan membiarkan lidah masing-masing bekerja lebih pantas daripada akal. Tiadalah lain matlamatnya kecuali untuk berkata: "Padan muka!" kepada kita.

Tiba-tiba kita pun tersedar bahawa ada sebuah agensi yang kerjanya membantu warga yang dilanda bencana. Namanya saja sudah menggambarkan kesiapsiagaan mereka untuk turun meringankan beban.

Alih-alih rakyat diberitahu bahawa agensi itu kini tidak lebih daripada sebuah entiti yang wujudnya hanya untuk menyakitkan hati kita.

Parlimen yang sepatutnya menjadi tempat untuk masalah rakyat dibincang dan dicari jalan penyelesaiannya pula kelihatan tidak lebih daripada sebuah jenaka yang menyebalkan.

Ketika ada ramai yang kelemasan kerana memikirkan masa depan akibat bah, sesetengah ahli parlimen pula sedang bersedap-sedapan di luar negara. Pedulilah apa pun alasan yang diberi, waima atas nama ibadah pun. Sikap tidak prihatin dan kejam itu wajar diingati sehingga kita mati.

Entah apa punya malanglah agaknya kita ini. Mungkin kerana negara ini sebenarnya sedang dikemudi oleh sekumpulan pemimpin yang sudah mencapai status kedaluwarsa serta 'barang reject' lalu bergabung pula dengan orang politik bertaraf total loss.

Antara ciri ketara orang politik berstatus total loss itu ialah yang menempekkan gambar muka masing-masing di kotak-kotak bantuan untuk mangsa banjir.

Siapkan tong sampah besar

Kita memang perlu menyiapkan negara ini untuk menolak sial dan bala yang berpanjangan. Jika orang dulu-dulu beramal dengan mandi bunga untuk menolaknya, kaedah yang lebih kurang sama wajar dilakukan pada tanah air bertuah ini.

Tidak boleh disabarkan lagi untuk rakyat menanggung bala demi bala, bencana demi bencana yang dibawa oleh orang politik sekarang. Dan hal ini wajib ditegaskan kepada orang politik itu dengan sejelas-jelasnya. Jika boleh, katakan kenyataan ini di depan muka mereka.

Orang politik yang kurang ajar dan tiada empati itu mesti diajar agar beradab dengan rakyat. Masa untuk rakyat takut kepada orang politik sepatutnya sudah lama berakhir.

Memang agak terlewat, namun belum terlambat. Daripada tiada, eloklah ada. Orang politik mesti diajar takut dan tunduk kepada rakyat, bukan sebaliknya. Kemudahan media sosial yang ada sekarang boleh digunakan untuk memberi tekanan semaksimum mungkin.

Sajak pada awal tulisan ini tadi adalah petikan sebahagian daripada buah tangan Usman Awang pada 1954 berjudul Isi Tak Berganti. Ia disiapkan Sasterawan Negara ketiga itu untuk ahli politik yang baru memenangi pilihan raya.

Mujurlah selain orang politik terbuang itu, ada ramai rakyat yang berhati mulia di sana sini. Mereka melupakan perbezaan yang ada kerana dipertautkan oleh sifat manusiawi yang sebenarnya memang ada pada diri masing-masing.

Ia wujud dan segar kerana tidak dirosakkan oleh pengacum yang terdiri daripada orang politik itulah. Perseteruan kita - rakyat ini - sesungguhnya menjadi talian hayat buat mereka.

Terbukti, bukan sukan saja yang mampu menyatukan hati rakyat. Bencana juga boleh menjadi titik damai sesama warga.

Dengan kesedaran itu, sama-samalah kita saling membantu. Tugas membersihkan kotoran pascabanjir memang mencabar. Dalam banyak keadaan kita memerlukan kemudahan asas seperti tong sampah Roro (roll-on roll-off) untuk menyingkirkan apa saja barang yang rosak.

Nampaknya tong sampah yang sama juga perlu kita persiapkan untuk membuang orang politik yang tidak berguna itu. Sampai masanya, mereka wajib dicampakkan ke situ juga.

Kita tidak memerlukan orang politik bebal untuk menjadi pemimpin.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu menyampah dengan lakonan orang politik.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.