Relawan berbilang agama, kaum ganding bahu bantu mangsa banjir
Keadaan Gurdwara Sahib di Petaling Jaya cukup sibuk dengan kehadiran sukarelawan pelbagai kaum dan agama yang turun berbakti untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Presiden Gurdwara Sahib, Awtar Singh berkata dia berasa kagum dengan rakyat Malaysia yang bersatu di bawah satu bumbung kegiatan kebajikan dan kemanusiaan.
“Tanggungjawab manusia adalah membantu manusia lain kerana kita mempunyai prinsip agama untuk tolong orang yang kurang bernasib baik atau tidak bermaya.
“Kita akan bersedia setiap masa sebab kita ada barang-barang yang diperlukan jika mangsa banjir memerlukan dan kami buat ini bukan untuk waktu banjir sahaja tapi untuk bila-bila masa juga,” katanya ketika ditemui Malaysiakini semalam.
Tinjauan di Gurdwara Sahib mendapati suasana sangat meriah dan pengurusan bantuan mangsa banjir dijalankan secara teratur.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Gurdwara Sahib, Baldev Singh, 56 memberitahu terdapat tiga kumpulan sukarelawan iaitu memasak, menerima barang daripada penderma luar dan menghantar barang-barang keperluan kepada mangsa banjir.
Jelasnya, lebih kurang seribu orang yang datang untuk membantu mangsa banjir dan menggunakan sistem bergilir-gilir.
Tempat ini, kata Baldev beroperasi 24 jam sejak dari hari Sabtu, 18 Disember lalu sehingga ke hari ini.
Pun begitu, menurutnya terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi sukarelawan dalam mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Untuk dapatkan berkomunikasi dengan tempat yang perlu bantuan adalah sukar kerana susah untuk dihubungi.
“Untuk dapatkan bekalan on time (tepat pada masanya) juga adalah salah satu halangan yang kami hadapi.
“Bagi menyelamatkan mangsa yang tersadai juga kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana kami tiada bot sokongan kerana susah untuk dapat," katanya lagi.
Memandangkan penganut Sikh mengamalkan diet vegetarian maka pihak Gurdwara Sahib di sini menyediakan menu sayuran dan bekalan barang keperluan kepada mangsa banjir.
Kelihatan sukarelawan saling bantu membantu memasak dan mengatur barangan sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang memerlukan.
Sekarang ini, terdapat beratus sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan umur berganding bahu demi menolong mangsa banjir yang terjejas, jelas Baldev lagi.
Sementara itu, sukarelawan Vee Singh, 55 berkata dia berasa senang hati melihat perpaduan yang ditunjukkan rakyat Malaysia dalam menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir.
“Bila tengok semua bangsa bersatu, saya rasa sangat gembira kerana dalam hal ini, kita tidak tengok agama apa dan bangsa dan kita memang patut menggalakkan semua orang untuk membantu rakyat kita,” katanya kepada Malaysiakini.
Seorang lagi sukarelawan Gurdev Randhawa, 48, pula berkata suasana sebegini menggambarkan hubungan erat "keluarga Malaysia."
Terdapat juga golongan siswa yang turut hadir membantu, seperti Mahmood Tarmizi, 24.
"Seronok sangat sebab sebelum ini tidak pernah lagi dapat perasaan seperti ini kalau tiada banjir kerana susah nak tengok komuniti begini.
"Apa yang saya dapat lihat, aktiviti sebegini boleh mengeratkan lagi hubungan antara kaum-kaum lain,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Alleysa Abu Bakar, 19 berkata dia merasakan menjadi sebahagian tanggungjawabnya untuk memberi kembali kepada masyarakat, terutamanya kepada mereka yang terjejas dalam hal ini.
“Saya sangat gembira dan bangga, perpaduan kaum di negara kita amat baik, semua orang membantu mangsa-mangsa yang terlibat tanpa mengharapkan sebarang ganjaran,” kata siswi itu.
Semalam, bekas menteri agama Zulkifli Mohamad meninjau proses penyediaan juadah untuk mangsa banjir dari dapur sehinggalah ke meja bungkusan ke Gurdwara Sahib ini.
Bekas mufti Wilayah Persekutuan itu merasa terharu melihat kerjasama tanpa mengira bangsa dan agama dalam misi bantuan kepada mangsa banjir.
“Saya mengenali agama Sikh melalui konsep seva iaitu khidmat sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Dalam Islam, konsep yang sama juga boleh kita temui iaitu ikhlas, perbuatan jika ibadah khusus mahupun umum yang dilakukan hanya kerana Allah SWT,” katanya pada hantaran di media sosial.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai