Skip to main
Logo Malaysiakini

Kepadatan penduduk sukarkan operasi menyelamat di Shah Alam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kepadatan penduduk Shah Alam yang tinggi menjadi cabaran besar buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha pasukan itu melakukan kerja-kerja menyelamat.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata kebanyakan mangsa mendiami rumah teres sama ada satu tingkat atau dua tingkat, selain apartment.

"Kepadatan penduduk di kawasan Shah Alam agak berbeza berbanding penduduk seperti di Kelantan, Pahang, Terengganu dan negeri-negeri lain," katanya.

Justeru kata Acryl Sani tugas menyelamat dan memindahkan penduduk yang terjejas dengan banjir menjadi lebih sukar.

"Kami memang hadapi cabaran besar untuk membantu mengeluarkan mangsa," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Beberapa kawasan di ibu negeri Selangor itu serta Klang adalah antara lokasi paling teruk dilanda bah besar pada hujung minggu lalu, khususnya di Taman Sri Muda.

Selain Selangor, beberapa negeri lain juga dilanda banjir yang serius termasuk di Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Kelantan.

Pelbagai pihak menyatakan rasa kecewa dan marah apabila operasi menyelamat lambat dilakukan serta dilihat tidak diselaras dengan sepatutnya.

Setakat ini seramai 37 orang sudah disahkan meninggal dunia dan 10 lagi masih hilang.

Acryl Sani juga mengakui gerakan menyelamat itu bermula dengan agak bermasalah sebelum masalah berkenaan berjaya diatasi kemudian.

"Kita dapati koordinasi antara semua agensi memang pada awalnya dilihat agak perlahan, tetapi selepas hari kedua kami telah pun menggerakkan dan menyelaras kesemua tindakan daripada setiap agensi terbabit," katanya.

Pada ketika itu juga tambah Acryl Sani PDRM dimaklumkan keadaan banjir masih berada pada tahap berbahaya.

Lebih 60,000 orang terpaksa dipindahkan ke tempat selamat selepas banjir besar melanda sesetengah kawasan di Lembah Klang dan lima negara lain sejak Sabtu lalu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Dis lalu mengakui tindak balas pihak berkuasa bagi menangani bencana itu memang lemah namun berjanji ia akan ditambah baik selepas ini. 

Sementara itu Acryl Sani kelihatan terkejut apabila ditanya mengenai kesukaran mangsa banjir mendapatkan bantuan melalui talian kecemasan yang ada.

"Ia sepatutnya berfungsi pada setiap masa dan ini adalah kali pertama saya mendengar hal ini.

"Saya akan dapatkan maklumat lanjut mengenainya," kata Acryl Sani.

[Baca berita penuh]